Adam positif menjelang GP Jerman

0
279
Advertisement



NADA positif diberikan pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman yang dijadual membuka tirainya Jumaat ini.

Litar Sachsenring pernah menyaksikan suka duka buat Adam sejak menyertai saingan Moto3 pada 2016 dengan tahun lalu menamatkan perlumbaan pada kedudukan mata, di tangga ke-13 selepas bermula dari petak 14.

Adam mengakui menyukai trek sepanjang 3.7 kilometer itu meskipun sedar betapa litar yang terletak di timur Jerman itu bakal menyediakan persaingan lebih rumit.

“Saya menyukai trek di Jerman ini. Agak rumit dan kebiasaannya tidak begitu sesuai dengan corak tunggangan saya,” kata pelumba berusia 20 tahun itu.

“Namun tahun lalu, kedudukan kami agak baik dan kami menamatkan perlumbaan di tangga ke-13. Jadi saya yakin mampu melakukan sesuatu lebih baik kali ini.

Kami mempunyai strategi yang baik untuk minggu ini, jadi saya amat menantikan saingan di sana. Saya mempunyai segala-galanya yang diperlukan untuk meraih keputusan baik; saya hanya perlu kekal fokus dan berusaha lebih gigih.”

Dua minggu lalu di GP Belanda, Adam berdepan pengalaman baharu dalam kariernya di Moto3 apabila dikenakan penalti yang menyaksikan dirinya memulakan perlumbaan dari petak paling belakang kerana menunggang perlahan pada sesi latihan bebas.

Adam bagaimanapun menamatkan perlumbaan di Sirkit TT Assen di tangga ke-21 dengan catatan 38 minit 23.745 saat.

“Saya meluangkan minggu lalu dengan menjalani latihan bersama ketua kru di Perancis dan saya sudah lebih bersedia untuk minggu ini.

“Kami banyak melakukan perbincangan dan ini membantu saya untuk lebih memahami kesilapan yang dilakukan, bagaimana saya boleh belajar daripada mereka dan apa yang boleh saya lakukan untuk menjadi lebih baik.

“Selepas perlumbaan di Assen, saya begitu kecewa. Jadi saya mesti melakukan yang lebih baik di Sachsenring,” kata Adam yang sudah mengumpul 19 mata untuk berada di tangga ke-21 bagi kelas Moto3 setakat lapan pusingan musim ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here