Adiwiraku: Walau dijangkiti denggi, Sangeeta berdiam enggan susahkan produksi

0
28

PELAKON Sangeeta Krishnasamy mendedahkan dirinya dijangkiti demam denggi ketika menjalani penggambaran filem “Adiwiraku”.

Watak Sangeeta sebagai Cikgu Cheryl dalam filem tersebut melayakkan dirinya merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 29 (FFM29) yang diadakan pada Sabtu.

Filem “Adiwiraku” arahan Eric Ong ini juga berjaya merangkul anugerah Cerita Asal Terbaik serta Filem Terbaik.

“Saya berdepan dengan cabaran tersendiri ketika menjalani penggambaran filem ini. Saya dijangkiti demam denggi tetapi saya mendiamkan sahaja perkara tersebut kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi.

“Saya bertahan sehabis daya kerana mahu menyenangkan kerja semua pihak. Pihak produksi tahu pun apabila saya sudah benar-benar tidak larat. Selesai sahaja penggambaran, saya terus mendapat rawatan,” kata Sangeeta.

Bersyukur kerana berjaya membawa pulang trofi idaman semua aktres, Sangeeta berterima kasih kepada Cikgu Cheryl yang menjadi penggerak filem ini.

“Saya rasa sangat terkejut dan bersyukur kerana mendapat pengiktirafan sebegini. Sebagai pelakon yang masih baharu dalam lapangan seni, pengiktirafan ini membakar semangat saya untuk bekerja dengan lebih keras.

“Menjayakan filem berdasarkan kisah benar ini membuatkan saya rasa sangat berbangga. Saya berterima kasih kepada Cikgu Cheryl yang tidak lelah mendidik anak bangsa dan menganggap dirinya sebagai pemenang sebenar,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @ffm29official

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here