Agrobank, MPB bekerjasama jayakan program pembiayaan pekebun lada

0
17

KUCHING: Agrobank memeterai kerjasama strategik dengan Lembaga Lada Malaysia (MPB) bagi menjayakan program pembiayaan khas untuk manfaat lebih 30,000 pekebun kecil lada yang berdaftar.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, program itu akan membantu pekebun kecil lada dari segi akses kewangan.

Menurutnya, lada adalah antara eksport utama negara dan ia memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara serta pekebun lada.

“Agrobank dan MPB akan memainkan peranan masing-masing. MPB akan berusaha menambah jumlah pekebun dan kawasan lada manakala Agrobank menyediakan pembiayaan sama ada kepada individu ataupun koperasi yang akan ditubuhkan di bawah MPB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kerjasama Strategik Agrobank dan MPB di sini pada Ahad.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia ,Abu Hassan Alshari Yahaya turut hadir.

Datu Nasrun dalam ucapannya menyambut baik kerjasama strategik yang dijalinkan itu memandangkan eksport lada sentiasa mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Kementerian amat berbesar hati apabila kerjasama strategik ini dapat dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan hasil pengeluaran lada di Malaysia,” katanya.

Majlis kerjasama strategik yang berlangsung serentak dengan Karnival Kewangan Bank Negara itu ditandatangani Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Masaat Awadz dan Ketua Pengarah MPB, Dr Harry Entabang.

Ketika ditemui pemberita, Masaat berkata, pembiayaan itu dijangka bermula pada Januari 2018 selepas proses saringan awal oleh MPB sebelum permohonan diserahkan kepada Agrobank.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here