Agrobank rangkul anugerah 'Pembangunan Ekonomi Tempatan' ADFIAP di India

0
73
Advertisement

KUALA LUMPUR: Agrobank sekali lagi menerima pengiktirafan di peringkat global apabila dianugerahkan sebagai pemenang kategori ‘Pembangunan Ekonomi Tempatan’ oleh Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan Asia serta Pasifik (ADFIAP) 2018 pada majlis yang berlangsung di New Delhi, India.

Anugerah disampaikan Pengerusi ADFIAP, Shirjee Roy Yadar kepada Masaat Awadz yang menanggung tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.

Anugerah tersebut sebagai mengiktiraf usaha pembangunan ekonomi oleh Agrobank, terutamanya untuk Program Pembiayaan Cili Fertigasi-i di bawah kendalian Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPK-Kuala Langat).

Menurut Masaat Awadz, Agrobank amat berbesar hati dengan penganugerahan itu dan ia memberi motivasi demi membangunkan ekonomi masyarakat agro tempatan.

“Sebagai sebuah bank yang memahami keperluan komuniti pertanian, Agrobank sentiasa proaktif dalam menawarkan pembiayaan kewangan komprehensif untuk sektor pertanian yang merangkumi aktiviti huluan dan aktiviti hiliran.

“Agrobank sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan rakan strategik untuk sama-sama memajukan industri pertanian,” katanya.

Beliau berkata, Agrobank menawarkan pembiayaan dari RM1,000 sehingga RM50,000, tanpa perlu cagaran untuk peserta projek fertigasi cili tersebut.

“Ia terbuka kepada individu berusia 18 tahun sehingga 60 tahun dan peserta perlu berdaftar di bawah projek tanaman cili fertigasi kelolaan PPK Kuala Langat.

“Program tersebut merupakan inisiatif berinovatif PPK dalam membangunkan perusahaan cili fertigasi dengan meningkatkan penglibatan dan pendapatan belia dalam perusahaan cili. Dengan tujuan memperkasakan komuniti, PPK Kuala Langat menyediakan latihan intensif dan ‘real time‘ kepada pengusaha muda cili untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti yang diusahakan dan membantu pemasaran dengan harga pasaran yang baik,” katanya.

Agrobank menyokong program itu dengan menyediakan pembiayaan mikro tanpa cagaran kepada anggota komuniti PPK Kuala Langat serta perkhidmatan perbankan internet. Selain itu, semua pembayaran pendapatan cili kepada pengusaha dibuat secara dalam talian bagi transaksi yang lebih telus dan mempunyai simpanan rekod yang lebih teratur.

Agrobank komited dengan peranan yang dimandatkan iaitu untuk mengembangkan sektor pertanian bagi mendapatkan akses yang lebih baik dalam pembiayaan perniagaan yang berasaskan pertanian iaitu daripada peniaga mikro kepada Industri Kecil Sederhana (IKS) sehingga perniagaan import dan eksport. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here