Ah long guna gambar kartun pada iklan tarik orang ramai pinjam wang

0
70



IPOH: Pelbagai cara digunakan oleh ah long untuk menarik perhatian orang ramai supaya meminjam wang melalui taktik terbaru dikesan dengan meletakkan gambar kartun pada iklan selain menggunakan aplikasi Whatsapp.

Taktik terbaru itu dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak menerusi operasi khas yang dilakukan di beberapa kawasan bagi membanteras aktiviti peminjaman wang haram di sini hari ini.

Ketua JSJK Perak Supt Lee Ewe Kiang berkata dalam operasi bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, pihak polis serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menurunkan 1,200 iklan di tepi jalan utama di sekitar Jelapang, Meru, Ampang Baru dan Tambun.

“Operasi membabitkan sembilan anggota polis serta 12 kakitangan MBI dapat mengesan mereka (ah long) menggunakan cara baharu dengan meletakkan gambar kartun pada iklan yang digantung selain mereka boleh dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Lee berkata untuk tahun ini pihak polis telah menahan 21 ah long membabitkan 59 kes dan operasi secara berkala antaranya menurunkan iklan terus dijalankan.

“Saya tak boleh kata kes melibatkan aktiviti ah long ini bertambah atau berkurang kerana aktiviti ah long sentiasa ada kerana mereka sentiasa mengubah cara untuk mengelak dikesan.

Lee turut menasihati orang ramai supaya meminjam wang daripada institusi kewangan yang lebih selamat seperti bank dan peminjam wang berlesen bagi mengelak sebarang kesulitan di kemudian hari.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here