Ahmad Afif ungguli pusingan kedua

0
367
Advertisement



AHMAD Afif Amran mempamerkan tunggangan berani untuk meraih kemenangan dramatik dalam perlumbaan kategori CP150 pada pusingan kedua Kejohanan Cub Prix Malaysia AAM Petronas, hari ini.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ itu bermula di petak ketiga di Litar MAEPS dan melonjak ke kedudukan kedua untuk berada di belakang penunggang petak utama, Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor).

Afif mengambil keputusan di saat akhir untuk mengatasi Akid, apabila melakukan pintasan di selekoh terakhir untuk meraih kemenangan dramatik.

Akid hanya berpuas hati di tempat kedua, manakala rakan sepasukannya, Kasma Daniel Kasmayuddin, juara pusingan pertama di Johor, menduduki tempat ketiga.

Afif, 23 berkata, dia tidak sangka dapat muncul juara berikutan kelajuan ditunjukkan pelumba lain di pusingan kelayakan semalam.

“Saya sedar ia bukan mudah apabila Akid sentiasa berada di depan bermula dari sesi ujian bebas hingga ke pusingan ‘superpole’ pagi ini.

“Sasaran saya hari ini adalah cuba untuk menduduki tempat kelima terbaik dan cuba untuk mengumpul mata sebanyak mungkin berikutan saingan musim ini masih lagi panjang. Saya tidak mahu ambil sebarang risiko.

“Bagaimanapun, saya sangat gembira hari ini dan yakin dengan keadaan tayar saya yang menjadi sebahagian dari kejayaan. Saya mengambil keputusan drastik dan memintas Akid pada selekoh terakhir, ia memang berbaloi.

“Seperti saya katakan sebelum ini saingan masih lagi panjang dan saya berharap boleh terus mengumpul lebih banyak mata untuk perlumbaan seterusnya,” kata Afif yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua di Johor.

Sementara itu, dalam kategori CP115, pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, Tengku Amirul Haffirudin muncul juara mengetepikan rakan sepasukan, Fareez Afeez di tempat kedua, manakala Haziq Md Fairues dari Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor di tempat ketiga.

Pusingan ketiga perlumbaan ini akan berlangsung di Jasin, Melaka dari 21 hingga 22 Julai ini.

Keputusan

CP150: 1 Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha CKJ) 15:52.716s, 2 Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) +0.028s, 3 Kasma Daniel Kasmayuddin (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) +2.919s, 4 Hafiz Nor Azman (Petronas Sprinta Yamaha CKJ) +3.909s, 5 Aiman Tahiruddin (Petronas Sprinta Yamaha CKJ) +6.431s.

CP115: 1 Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) 12:22.820s, 2 Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) +2.362s, 3 Haziq Md Fairues (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) +5.020s, 4 Ahmad Syukran Aizat (Petronas Sprinta Yamaha CKJ) +9.133s, 5 Nazirul Izzat Md Bahauddin (Petronas Sprinta Yamaha CKJ) +9.956s.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here