Aiedel tebus kekecewaan, hadiahkan emas

0
280
Advertisement



PELARI pecut remaja negara, Muhammad Aiedel Sa’adon berjaya menebus kekecewaannya semalam apabila menghadiahkan pingat emas dalam acara 4×100 meter pada hari kedua olahraga dipertandingkan di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Pelari berumur 18 tahun yabg diletakkan sebagai pelari terakhir dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu yang merangkul perak dalam acara 100m semalam, memastikan pingat emas milik Malaysia dengan catatan masa 41.07 saat bagi meninggalkan kuartet Indonesia yang berada di tempat kedua dengan 41.20s sementara kuartet Thailand di tempat ketiga dengan 41.28s.

Kuartet negara turut dibarisi pemenang pingat emas 400m lari berhalangan semalam, Rusleem Zikry Putra Rosli, Muhammad Ilham Suhaimi dan juga pelari termuda berusia 14 tahun, Muhamad Azeem Fahmi.

“Saya puas hati dapat ubati luka dengan prestasi saya sejak Mei lalu dan kesilapan persembahan semalam.

“Saya juga berpuas hati dengan larian saya dan rakan pasukan tadi memandangkan saya pada mulanya rasa agak bimbang mengulangi kesilapan yang sama seperti semalam.

“Tapi apabila saya dapati Rusleem lakukan larian yang bagus diikuti Ilham dan Azeem, saya pun menjadi bersemangat dan berkobar-kobar untuk melakukan larian yang terbaik,” kata Aiedel di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Aiedel selepas ini akan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh pada September ini mewakili negeri kelahirannya, Melaka.

Terdahulu, Ilham menghadiahkan satu lagi pingat emas dalam acara 400m dengan merekodkan 47.41s diikuti pelari Vietnam, Tran Nhat Hoang (48.16s) dan Dewa Radika Sya dari Indonesia (48.74s).

Satu lagi pingat emas disumbangkan Ngu Ing Biao dalam acara lempar cakera dengan merekodkan catatan terbaik 55.94m. Pingat perak dimenangi Jonathan Low dari Singapura (54.70m) dan gangsa dimenangi Bandit Singhatongkul dari Thailand (53.76m).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here