Air mata gembira

0
12



Lumut: Biarpun baru tiga tahun mendalami agama Islam ia tidak menghalang seorang saudara baru menyertai Tilawah al-Quran Peringkat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM, di sini, kelmarin.

Mengakui mencintai al-Quran mendorong Pegawai Waren II Ahmed Clement Sanga, 37, menjadi wakil tunggal kategori baru iaitu kategori saudara baru itu nekad untuk turut sama menyertainya.

Kategori yang baru diwujudkan dalam pertandingan itu bukan untuk dipertandingkan sebaliknya sekadar memberi pendedahan kepada saudara baru terhadap al-Quran.

Menurutnya, keindahan ayat suci itu menarik minatnya untuk lebih mendalami kalam Allah dengan bimbingan isteri, Leftenan Nurazwa Amat Puad, 30, yang tidak jemu membantunya.

“Pada mulanya memang sukar kerana ia asing bagi saya namun dengan sokongan isteri dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selain bantuan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Alhamdulillah saya dapat menguasai bacaan dengan baik.

“Banyak cabaran yang dilalui sepanjang setahun belajar sehingga saya menitiskan air mata selepas membaca al-Quran dengan lancar bukan sedih namun terlalu gembira kerana saya antara insan terpilih,” katanya.

Ahmed Clement yang bertugas di KD Sultan Ismail Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih di Johor mengakui teruja menyertai pertandingan buat kali pertama, namun menyedari dirinya masih baru dan perlu meningkatkan bacaan setiap hari selepas solat Maghrib.

“Saya bersyukur isteri banyak membantu, malah sebelum tidur saya akan membaca beberapa surah sambil didengari isteri untuk membetulkan bacaan itu.

“Biarpun teruja, namun saya berpegang bahawa al-Quran bukan untuk dipertandingkan, namun menganggap acara ini sebagai medium untuk saya memantapkan ilmu serta menerapkan nilai kerohanian Islam dalam membentuk kekuatan diri,” katanya.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan dan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here