AirAsia, 3 pihak meterai perjanjian tubuh syarikat tambang rendah di China

0
40

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd memeterai perjanjian awal tidak terikat dengan China Everbright Group, Plato Capital Ltd dan Oxley Capital Ltd untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama bagi penerbangan tambang rendah di China.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AirAsia berkata, perjanjian awal itu sah bagi tempoh tidak lebih daripada 12 bulan daripada 25 Sept, 2017, bagi pihak-pihak terbabit untuk membincangkan dan merundingkan perjanjian muktamad bagi cadangan usaha sama itu.

“Perjanjian muktamad itu tertakluk kepada kelulusan daripada jawatankuasa audit dan lembaga pengarah syarikat.

“Perjanjian awal itu tidak terikat secara undang-undang, kecuali bagi peruntukan berkaitan dengan kerahsiaan, publisiti dan eksklusif,” kata syarikat itu.

Plato ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan, terlibat terutamanya dalam sektor hospitaliti, pendidikan dan kejuruteraan kejituan, diperbadankan di Singapura dan tersenarai di Singapore Exchange Securities Trading Ltd.

Oxley ialah firma pelaburan swasta inovatif yang mengkhususkan dalam sektor hartanah, pertanian/tenaga alternatif, sumber semulajadi dan pelaburan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Pada 14 Mei, 2017, AirAsia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Everbright Group dan Henan Government Working Group untuk menubuhkan syarikat penerbangan tambang rendah di China.

MoU itu menggariskan penubuhan syarikat usaha sama yang akan dikenali sebagai AirAsia (China) untuk mengendalikan perniagaan penerbangan kos rendah yang berpangkalan di Zhengzhou, ibu kota wilayah Henan.

Selain itu, AirAsia (China) juga akan melabur dalam prasarana penerbangan termasuk terminal khusus penerbangan tambang rendah di lapangan terbang Zhengzhou, akademi penerbangan untuk melatih juruterbang, anak kapal dan jurutera dan kemudahan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here