AirAsia di landasan tepat ke arah menjadi syarikat penerbangan digital

0
18

SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) terbaik dunia, AirAsia berada di landasan tepat ke arah menjadi syarikat penerbangan digital.

Hasrat ini mampu direalisasikan melalui pelan syarikat penerbangan itu untuk meningkatkan pengalaman penerbangan udara melalui pendigitalan, menjadikan Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi di sini sebagai model lapangan terbang buat masa depan untuk LCC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes, syarikatnya sudah mengambil beberapa langkah proaktif dalam menyediakan penumpang pengalaman pra-penerbangan, perjalanan dan pendaratan lebih efisyen dan lebih lancar.

“Pemindahan operasi kami ke Terminal 4 di Changi adalah satu langkah ke arah menjadi syarikat penerbangan digital. Hasrat kami adalah memudahkan perjalanan udara penumpang kami.

“Kami bekerjasama dengan Changi Airport Group (CAG), memanfaatkan sistem Fast and Seamless Travel (FAST) untuk kami beralih ke arah pendigitalan lapangan terbang kami.

“Peningkatan penjimatan dan kecekapan yang diperoleh dari sistem FAST sejajar dengan usaha kami untuk mengekalkan struktur kos terendah serta visi kami untuk perjalanan lancar, yang bermaksud tambang yang lebih rendah untuk tetamu kami dan jumlah penerbangan akan bertambah di Changi,” kata Fernandes ketika ditemui media Malaysia selepas mengumumkan pelan pendigitalan syarikat penerbangan itu di T4 Changi pada Khamis.

Tambahnya, AirAsia memanfaatkan daripada kemodenan T4 apabila CAG memahami bagaimana LCC berfungsi.

“Mereka memahami nilai yang dibawa oleh syarikat penerbangan kos rendah kepada lapangan terbang tersebut dan ekonomi secara keseluruhan.

“Sistem FAST amat pantas dan ia merupakan sistem buat masa depan. Kami amat teruja untuk bekerja dengan pengendali lapangan terbang bertaraf dunia seperti CAG yang memahami keperluan pendigitalan untuk tingkatkan lagi pengalaman di lapangan terbang,” katanya.

AirAsia mengalihkan operasinya di Singapura ke Changi T4 dari Terminal 1 pada 7 November 2017.

Terminal serba canggih dengan sistem automatik sepenuhnya itu menampilkan kiosk daftar masuk automatik dimana pelawat boleh mendapatkan tempahan penerbangan, mencetak pas masuk dan mendaftarkan bagasi.

Ia juga memaparkan pemunggahan bagasi, pelepasan Imigresen dan kemasukan ke pintu masuk secara automatik, kesemuanya disokong oleh teknologi pengecaman wajah, tanpa memerlukan kakitangan untuk mengendali kaunter secara fizikal.

Sementara itu AirAsia juga akan bekerjasama dengan Palantir, sebuah syarikat perisian dari Amerika Syarikat, untuk membangunkan satu sistem kemasukan selamat untuk mempercepatkan proses imigresen merentasi lapangan-lapangan terbang di ASEAN.

Syarikat itu juga mahu meningkatkan proses operasi, keselamatan dan perniagaan dalam kumpulan dengan menggabungkan data dari pelbagai sumber menggunakan platform data Skywise oleh Airbus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here