AirAsia dinobat syarikat tambang rendah terunggul dunia tahun kesepuluh berturut-turut

0
155
Advertisement

KUALA LUMPUR: AirAsia masih mendominasi industri penerbangan apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali kesepuluh berturut-turut di Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax 2018 yang berlangsung di The Langham, London pada Selasa.

Pada acara sama, AirAsia turut diiktiraf dengan anugerah Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun keenam berturut-turut dan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia, menjadikannya tiga anugerah dimenangi secara keseluruhan.

Pengasas Bersama AirAsia, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun serta Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz menerima anugerah tersebut di London.

Dikenali sebagai “Anugerah Oscar bagi Industri Penerbangan”, Anugerah Skytrax adalah penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan dengan lebih 20.36 juta tinjauan pelanggan yang dilakukan di lebih 105 negara, mengukur piawaian merentas 49 petunjuk prestasi utama produk dan barisan depan khidmat pelanggan bagi syarikat penerbangan.

“Perasaan ini tidak dapat digambarkan. Saya masih tidak dapat melupakan perasaan sewaktu kami dinamakan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia buat pertama kali sepuluh tahun yang lalu dan saya tidak menyangka bahawa kami akan mengekalkan anugerah ini selama satu dekad,” kata Kamarudin dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Rafidah berkata, sebarang kejayaan dan pencapaian oleh Kumpulan AirAsia dan AirAsia X adalah sumbangan daripada setiap warga kerja AirAsia.

“OIeh itu, adalah penting untuk meningkatkan tahap kecekapan dan prestasi mereka supaya AirAsia dapat mengekalkan status bertaraf dunia ini dalam industri penerbangan serantau dan global yang amat berdaya saing,” katanya.

Kemenangan ini diraikan di semua pejabat kumpulan AirAsia di Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Manila, Bangalore dan Nagoya, yang disiarkan secara langsung di laman Facebook ‘Live’ AirAsia.

Sebagai tanda terima kasih atas sokongan diberikan, AirAsia akan menawarkan tambang rendah bermula 23 hingga 29 Julai 2018 di www.airasia.com untuk tempahan penerbangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here