AirAsia gesa MAVCOM kaji semula perbezaan KLIA, KLIA2 sebelum samakan PSC

0
23

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd mengesyorkan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) agar mengkaji semula perbezaan dalam kemudahan dan perkhidmatan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan KLIA sebelum menyamakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) di kedua-dua lapangan terbang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar dalam satu kenyataan berkata KLIA dan klia2 adalah dua terminal lapangan terbang yang sangat berbeza yang menyediakan tahap perkhidmatan dan kemudahan berbeza kepada penggunanya.

“Adalah tidak tepat untuk mengatakan perkhidmatan yang disediakan antara dua terminal lapangan terbang itu setanding kerana kemudahan di KLIA jauh lebih baik berbanding klia2. 

“Kami mahukan ketelusan MAVCOM berhubung dakwaan ini dan menggesa Mavcom mengkaji maklum balas daripada pengunjung dan pelanggan klia2, serta, meneliti pelbagai perkara mengenai perbezaan ketara kemudahan yang ditawarkan antara KLIA dan klia2,” katanya sebagai mengulas artikel Bernama yang bertajuk, ‘Equal Charges Will Ensure KLIA Passengers Don’t Subsidise KLIA2’ .

Aireen juga menjelaskan PSC akan dibayar terus oleh pelanggan yang melakukan perjalanan dan ini tidak akan memberi kesan kepada prestasi kewangan AirAsia.

Langkah MAVCOM menyamakan PSC bagi kedua-dua lapangan terbang itu dijangka dilaksanakan bermula Januari 2018, di mana bagi penerbangan antarabangsa, kadar PSC akan diseragamkan pada RM73.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here