AirAsia gesa MAVCOM laksana PSC bagi lapangan terbang tertentu lebih cepat

0
25

SINGAPURA: AirAsia Bhd menggesa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengemukakan pengiraan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi lapangan terbang tertentu lebih cepat daripada standard industri tiga hingga empat tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes, berkata proses pengiraan tersebut, yang akan mencerminkan kemudahan yang terdapat di lapangan terbang masing-masing, boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan.

“Saya mengalu-alukan MAVCOM untuk melakukannya dan sudah tiba masanya. Malaysia akan menjadi negara pertama di ASEAN untuk melaksanakannya dengan baik dan saya menggesa mereka melakukannya dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pelan pendigitalan syarikat penerbangan itu di Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi pada Khamis.

Pada Ogos, Ketua Pegawai Operasi MAVCOM, Azmir Zain, berkata suruhanjaya itu merancang untuk menyemak semula pengiraan PSC di lapangan terbang tempatan, sejajar dengan amalan antarabangsa.

Beliau juga berkata negara-negara Eropah mengambil masa antara tiga dan empat tahun untuk melaksanakan mekanisme tersebut dan MAVCOM merancang tempoh masa yang sama.

Sementara itu, pada pembentangan beliau, Fernandes menekankan visinya untuk mengurangkan penggunaan tunai dalam penerbangan AirAsia melalui pengenalan perkhidmatan e-dompet, BigPay.

Perkhidmatan tersebut, yang dijangka dilancarkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, memudahkan pengembara menggunakan sehingga 10 kad debit atau kad kredit untuk melakukan transaksi di seluruh ASEAN.

Ia akan mempunyai kesemua 10 mata wang ASEAN, selain turut menawarkan kadar pertukaran asing yang lebih rendah berbanding bank.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here