AirAsia lancar penerbangan terus Davao-Kuala Lumpur

0
65

DAVAO: AirAsia Bhd hari ini melancarkan penerbangan terus dengan kekerapan empat kali seminggu dari sini ke Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata penerbangan laluan itu bermula 21 Dis, 2017, merupakan perintis bagi komitmen AirAsia untuk Davao pada fasa seterusnya.

“Kami yakin Davao berpotensi menjadi pintu masuk antarabangsa ASEAN ke selatan Filipina, bermula dengan laluan baharu ini ke Kuala Lumpur,” katanya semasa pelancaran laluan itu di Persidangan Pelaburan Davao 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Davao City, Sara Duterte-Carpio dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Philippines, Kapten Dexter Comendador.

Fernandes berkata, Davao merupakan antara bandar raya pertama yang menerima penerbangan AirAsia apabila syarikat itu memulakan operasi Filipina pada 2012.

“Malah, laluan Clark-Davao, yang dirintis oleh kami, merupakan satu daripada dua laluan sulung apabila kami memulakan AirAsia Philippines lima tahun lepas,” katanya.

Davao merupakan laluan penerbangan langsung keempat dari Malaysia ke Filipina selepas Manila, Cebu dan Kalibo yang membawa sejumlah 577,536 penumpang pada 2015 dan 2016.

AirAsia turut menghubungkan penumpang ke bandar-bandar lain di Filipina termasuk Clark, Manila, Caticlan, Kalibo, Tacloban, Palawan, Cebu dan Tagbilaran.

Fernandes berkata, pada 2017 sahaja, AirAsia telah melancarkan penerbangan baharu dari Davao ke Cebu, Palawan dan Boracay selain penerbangan melalui Cebu ke destinasi antarabangsa seperti Singapura, Taipei dan Seoul.

Beliau berkata, AirAsia menyokong penuh pembangunan bandar di luar metropolitan Manila, dan berperanan memajukan pertumbuhan ekonomi selatan Filipina menerusi usaha mempertingkatkan kesambungan dan akses kepada perjalanan udara.

AirAsia dijangka mencatat faktor muatan antara 75 dan 80 peratus bagi laluan baharu itu, katanya.

“Filipina merupakan pasaran besar bagi AirAsia dan boleh membawa kejayaan seterusnya seperti pasaran Thailand.

“Inilah waktu yang sesuai untuk AirAsia Philippines dan AirAsia Indonesia menawarkan tawaran awam awal,” katanya.

Fernandes berharap AirAsia Philippines boleh disenaraikan menjelang akhir tahun ini atau suku pertama tahun depan.

Beliau berkata tempoh sekarang merupakan waktu yang tepat untuk syarikat itu berkembang di Filipina di samping dalam keadaan dasar kerajaanya yang mesra dan pembukaan pasaran penerbangan.

Sempena pelancaran itu, AirAsia menawarkan harga tiket termasuk semua mulai RM99 sehala dari Kuala Lumpur ke Davao dan boleh ditempah hari ini sehingga 30 Julai, 2017 bagi tempoh penerbangan 21 Dis, 2017 hingga 28 Ogos, 2018.

Davao City, di pulau Mindanao selatan Filipina, merupakan pusat komersial pinggir laut berhampiranGunung Apo yang memiliki ketinggian 2,954 meter – puncak tertinggi negara itu.

Bandar penting tersebut menawarkan pelbagai persekitaran semula jadi seperti pulau dan pantai, selain tarikan bandar, festival berwarna-warni dan makanan yang lazat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here