AirAsia menuju ke arah menjadi syarikat penerbangan ASEAN

0
39

KUALA LUMPUR: AirAsia meneruskan pengembangannya di rantau ini untuk menjadi syarikat penerbangan ASEAN yang sebenar-benarnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata pengembangan diteruskan dengan rancangan usaha sama di Vietnam dan minat yang dilahirkan oleh kerajaan Kemboja agar AirAsia meneroka pasaran negara tersebut.

“Jadi, pengembangan ASEAN maju dari setahap kesetahap,” katanya menerusi mesej video mengenai gambaran keseluruhan prestasi syarikat penerbangan itu tahun lalu dan prospeknya, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif AirAsia Bhd Aireen Omar berkata di luar ASEAN, anak syarikatnya di Jepun yang baru ditubuhkan dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, selain itu, syarikat penerbangan tersebut juga baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman bagi menjalin usaha sama untuk menubuhkan syarikat penerbangan tambang rendah di China.

“Bagi memudahkan pertumbuhan AirAsia, kami menyediakan pelan serahan pesawat yang berterusan sehingga 2028.

“Tahun ini, saiz kumpulan pesawat dijangka meningkat sebanyak 29 pesawat yang menjadikannya sebanyak 203 pesawat A320s menjelang akhir tahun,” katanya

Aireen berkata selain daripada perniagaan perkhidmatan penumpang, syarikat penerbangan itu juga akan menumpukan kepada meningkatkan pendapatan sampingan seperti hasil daripada pillihan tempat duduk, perkhidmatan Wi-Fi dalam penerbangan, makanan dan minuman, fi bagasi, pindahan penerbangan dan produk bebas cukai.

“Pendapatan sampingan merupakan perniagaan margin tinggi dan merangsang pertumbuhan bagi syarikat. Ia memberi sumbangan yang semakin besar kepada pendapatan kami dan menyediakan sumber hasil tambahan bagi menampan keadaan tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata tahun lepas, pendapatan sampingan meningkat lebih 10 peratus kepada RM48 bagi setiap penumpang.

Sementara itu, untuk beroperasi pada kos rendah, Aireen berkata AirAsia memusatkan banyak proses bagi mengurangkan pertindihan dan mengoptimumkan kos.

“Dengan memusatkan banyak fungsi-fungsi kami dalam seluruh kumpulan, kami dapat mencapai ekonomi bidangan dan mengurangkan lagi kos kami.

“Tumpuan kami adalah untuk mendisiplinkan kos kami ketika kami berkembang, dan menambahbaikkannya lagi, apabila kami menyepadukan semua sumber dalam seluruh kumpulan dan menjadikan AirAsia seperti yang sebenar-benarnya,” katanya.

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here