'Aisyah dijemput Ilahi di pangkuan saya ketika alun ayat suci al-Quran' – ayah

0
108
Advertisement

SIAPA yang tidak mahu dijemput Ilahi dalam husnul khatimah?

Hakikatnya, bukan semua daripada kita akan menjadi insan terpilih yang bertuah itu.

Kisah seorang gadis cantik bernama Andi Aisyah Bahar menjadi tular baru-baru ini biarpun dia bukan daripada kalangan selebriti ternama.

Aisyah, baru berusia 22 tahun dan berasal dari Makassar, Indonesia, meninggal dunia Khamis minggu lalu.

Apa yang menjadikan cerita Aisyah tular adalah bagaimana dia ‘pergi’ ketika sedang mengalunkan ayat suci al-Quran.

Menurut laporan portal media Indonesia, Liputan 6, bapa Aisyah, Andi Bahar memaklumkan anaknya ketika itu sedang membaca surah Al-Mutaffifin selepas selesai mengerjakan solat Subuh.

“Malam sebelum meninggal, Aisyah bangun menunaikan solat sunat. Dia juga sempat bersahur untuk berpuasa kerana sudah menjadi kebiasaan untuk dia berpuasa setiap Isnin dan Khamis.

“Dia minta saya temaninya membaca al-Quran. Tak pernah dia minta begitu sebelum ini. Dia juga meminta saya memperbetulkan bacaannya.

“Belum sempat menghabiskan surah itu, dia menghampiri dan memeluk saya, dan meminta saya membimbingnya mengucap dua kalimah syahadah.

“Dia meninggal dunia selepas itu,” kata Andi sambil memberitahu anak kelimanya itu tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.

“Dia pernah mengadu sakit kepala beberapa kali, tetapi selepas diperiksa doktor, dia disahkan sihat,” tambah Andi Bahar.

Ibu Aisyah, Andi Ratna pula memberitahu media, dia dan suami reda sekalipun tiga anak mereka, termasuk Aisyah, dijemput dalam usia yang sangat muda dan dalam keadaan sihat.

Dua abang Aisyah, Andi Ibrahim dan Andi Asri, meninggal dunia ketika sedang iktikaf di masjid, masing-masing pada tahun 2009 dan 2011. Kedua-duanya berusia awal 20an ketika itu.

“Kami reda. Mereka dipanggil balik dalam keadaan yang sangat baik,” kata Andi Ratna.

Aisyah, lulusan pertanian dari Universiti Hasanuddin, sepatutnya dijadualkan memulakan tugas di universiti berkenaan sebagai penyelidik pada hari yang sama dia meninggal dunia.

Jenazah Aisyah selamat dikebumikan pada petang Khamis di tanah perkuburan Lembaga Dakwah Islam Indonesia, yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here