Ajal depan rumah

0
60



Seremban: “Abang menggunting rambut dan mengemas diri sehari sebelum kejadian. Saya sangka abang mahu menyambut kedatangan bulan mulia, tetapi rupanya dia pergi menghadap Ilahi,” kata Zaitun Ahmad Sharif, 42, mengenai abangnya yang maut dalam kemalangan di Kampung Jijan Hilir, di sini, kelmarin.

Katni, 56, yang menunggang motosikal Modenas Kriss dirempuh sebuah motosikal berkuasa tinggi ketika membelok masuk ke kawasan rumahnya, jam 3 petang.

Zaitun berkata, arwah abangnya itu tinggal seorang diri di rumah pusaka keluarga dengan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dan melakukan kerja sampingan mengutip barangan terpakai.

“Arwah anak keenam daripada 11 beradik tidak pernah berkahwin dan hanya menguruskan dirinya sendiri. Bagaimanapun, adik-beradik lain yang tinggal berhampiran kerap bertanya khabar.

“Abang ada datang ke rumah saya di Kampung LBJ pada Khamis lalu. Abang tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi ada memberitahu mahu memotong rambut dan mengemas diri,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, semalam.

Menceritakan kejadian, katanya, Katni ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjual barangan terpakai di pekan Salak, dekat sini, dan kemalangan itu disedari ahli keluarga yang mendengar dentuman kuat.

Zaitun berkata, secara kebetulan suaminya juga dalam perjalanan ke pekan Salak melihat kemalangan di hadapan rumah arwah lalu menghampiri dan terkejut apabila mendapati arwah yang terbabit dalam kemalangan itu.

“Selepas dihubungi suami, saya segera ke lokasi dan sedih sebaik melihat keadaan arwah yang sudah membotakkan kepalanya. Tidak sangka ia petanda arwah mahu meninggal dunia,” katanya.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jijan Hilir, di sini, sebelum solat Zuhur semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here