Akhbar The Star perlu segera minta maaf, kata Shahar

0
64



Ketua Pemuda Umno Pahang, Shahar Abdullah menggesa akhbar The Star agar dengan segera meminta maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Ini kerana, jelas Shahar, akhbar itu menyiarkan tajuk utama berita berkenaan ‘pengganas’ bersama-sama gambar umat Islam sedang bersolat terawih di halaman muka depannya pada 27 Mei 2017.

“Meskipun tajuk berita tiada kena mengena dengan gambar itu, ia boleh menyebabkan orang ramai tersalah tafsir apa yang disiarkan akhbar The Star seolah-olah merujuk pengganas kepada orang Islam dengan meletakkan kedua-dua berita dan gambar tersebut di halaman depan.

The Star sebagai salah satu akhbar ‘senior’ berbahasa Inggeris utama di Malaysia sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti di negara ini yang majoriti rakyatnya beragama Islam lebih-lebih lagi dengan banyak insiden keganasan yang terjadi di luar negara kini.

“Tambahan pula umat lslam menyambut hari pertama bulan ramadan, bulan mulia umat lslam,” kata beliau dalam kenyataan.

Oleh itu, sama ada penyiaran muka depan akhbar itu disengajakan atau tidak, pihaknya menggesa para pengarang The Star agar meminta maaf dengan seluruh umat Islam dan berjanji akan lebih sensitif dalam menyampaikan berita, kata beliau.

Ia penting, jelasnya, bagi mengelakkan tercetusnya ketegangan dalam komuniti berbilang kaum di negara ini lebih-lebih lagi memberi persepsi yang salah tentang agama Islam.

“Saya juga menggesa pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk melakukan pemantauan dalam memastikan tiada berita yang boleh mencetuskan kemarahan mana-mana agama dan kaum disiarkan.

“Sesungguhnya media yang merupakan medium penyampaian berita memainkan peranan yang sangat penting dalam menyampaikan laporan yang tepat dan tidak mengelirukan kepada rakyat,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here