ALF 2: 13 hari dah RM13 juta, apa kata Syafiq Yusof

0
64

SELEPAS 13 hari ditayangkan filem arahan pengarah muda Syafiq Yusof, Abang Long Fadil 2 (ALF 2) berjaya meraih kutipan sebanyak RM13 juta.

Kutipan memberangsangkan tersebut membuktikan filem tempatan masih diminati dan sentiasa mempunyai tempat di hati peminat.

Syafiq ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia tidak menyangka filem ALF 2 mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ALF 2 mendapat kutipan yang baik sehingga hari ini dan sebenarnya saya tidak sangka langsung ia akan melepasi kutipan ALF sebanyak RM4.5 juta sebelum ini.

“Saya berterima kasih kepada Allah SWT kerana rezeki yang diberikan ini, keluarga yang tidak putus-putus memberi semangat dan para penonton yang telah ke panggung membeli tiket ALF 2,” katanya.

Ketika ditanya adakah dia meletakkan sasaran kutipan untuk filem bergenre komedi aksi ini, Syafiq memberitahu perkara tersebut tidak pernah terlintas difikirannya.

“Saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran kepada setiap filem yang saya hasilkan kerana papa dan abang selalu berpesan supaya tidak berbuat demikian.

“Kata mereka, jangan letakkan sasaran dan harapan kerana takut nanti kecewa di kemudian hari. Jadi, nasihat mereka saya pegang sehingga hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syafiq memberitahu kutipan ALF 2 menaikkan semangatnya untuk sekuel ALF 3.

“Jujur saya katakan, sebelum ini saya memang merancang untuk sekuel ALF 3 tetapi bergantung kepada kutipan ALF 2.

“Nampaknya, impian saya jadi kenyataan. Papa pun dah bagi ‘greenlight’ untuk saya develop skrip ALF 3,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Kepada yang masih belum menonton ALF 2, jangan tunggu lagi! Pergi ke pawagam berhampiran dan bersedia untuk menonton filem aksi dengan ‘punchline’ bertubi-tubi ini!
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here