Alih-alih bantuan baiki rumah batal

0
30



Kepala Batas: Seorang bekas tentera yang pernah diserang hendap pengganas komunis terkilan kerana bantuan Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia diterimanya sebelum ini dibatalkan tiba-tiba tanpa alasan munasabah.

Mat Rejab Arshad, 78, dari Simpang Empat Permatang Buloh, dekat sini, berkata, dia antara lima bekas tentera disenaraikan untuk menerima bantuan berkenaan dengan namanya di kedudukan teratas, tetapi kecewa kerana ia tidak menjadi kenyataan.

Menurutnya, dia menerima surat tawaran bagi program berkenaan pada Februari lalu disusuli penemuan dengan empat pegawai tentera pada Jun lalu yang memaklumkan mengenai program bantuan itu.

“Pihak berkaitan menjalankan kerja mengukur rumah untuk membaiki bumbung dan siling ketika Ramadan lalu.

“Saya dimaklumkan kerja membaik pulih dilaksanakan selepas Aidilfitri, namun akhirnya hampa apabila menerima panggilan telefon dari pihak berkaitan Rabu lalu yang memberitahu program itu dibatalkan tanpa sebarang alasan,” katanya, di sini, semalam.

Warga emas berkenaan berkata, sebelum ini dia turut diminta mencari rumah sewa bagi membolehkan pekerja menginap di rumah berkenaan selama 10 hari bagi memudahkan kerja membaik pulih rumahnya dijalankan.

“Saya mencari rumah sewa sesuai, tetapi akhirnya malu sendiri kerana pihak yang mahu menyewa rumah itu membatalkan rancangan berkenaan,” katanya.

Mat Rejab menyertai tentera British pada 1958 dan ditugaskan di Nee Soon, Singapura dalam Unit Royal Signal sebelum menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1966.

Ketika bertugas, dia pernah menyelamatkan lapan daripada 10 anggota tentera dan 10 laras senapang M16 serta pistol ketika trak dipandunya diserang hendap pengganas komunis di Wang Padong, Sarawak pada 1971.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here