Aman Graseka tercabar cinta wanita muda

0
135


Pelakon, Aman Graseka. – Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Selepas 15 tahun hidup bersendirian, pelakon berpengalaman, Aman Graseka, 50, mengakui, hatinya kembali terbuka untuk berumah tangga.

Pelakon yang mencipta populariti menerusi filem Cinta Kita bersama Datin Sofia Jane pada 1995 itu berkata, pertemuan dengan model dan pelakon baharu, Reena Arina, 28, sejak tiga bulan lalu menggerakkan hatinya untuk kembali hidup berpasangan.

Aman berkata, sebelum ini, dia pernah tidak terfikir untuk mencari jodoh namun, perasaan ingin kembali berumah tangga hadir selepas bertemu kekasihnya itu.

“Bohong kalau selama 15 tahun bersendirian, saya tidak berkawan dengan gadis lain. Tetapi, pintu hati saya tidak terbuka untuk berumah tangga lagi. Saya juga tidak pernah menjalin hubungan secara serius selepas bercerai.

“Dalam bercinta, saya suka wanita yang lebih muda, sebolehnya belum mencecah usia 30 tahun kerana ia memberikan cabaran dalam perhubungan. Cabaran itu membuatkan cinta tidak mudah pudar dan membosankan.

“Disebabkan itu, saya mengelak daripada menjalin cinta dengan wanita matang kerana pada saya, hubungan itu kurang rencah dalam mewarnai hidup,” katanya.

Aktor yang kembali menjadi bualan ramai apabila membintangi drama 7 Hari Mencintaiku itu sebelum ini, mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu dan memiliki cahaya mata, Nurdayini Ashiqah, 19.

Aman berkata, pada usia 50 tahun, sudah tiba masa untuk dia memikirkan semula soal jodoh.

“Saya mula terfikir untuk mencari wanita yang boleh menjaga makan minum dan sakit pening saya apabila hari tua nanti.

“Kuasa Allah mempertemukan saya dengan Reena ketika menjalani penggambaran drama Papa Nak Menantu terbitan Zeel Production Sdn Bhd pada April lalu di Perlis.

“Secara jujur, saya sudah malas mencari jodoh tetapi, apabila bertemu Reena, hati saya memang terpaut. Biarpun masih muda, dia boleh mengikut rentak saya. Perbezaan usia selama 22 tahun juga tidak menghalang kemanisan dalam perhubungan kami.

“Hubungan kami masih baharu, jadi kami perlu ruang untuk terlebih dahulu mengenali hati budi. Saya tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan Reena. Dia gadis yang istimewa dalam hidup saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here