Amar berhenti berharap

0
88



Pementasan teater La Galigo yang sepatutnya diadakan pada November tahun lalu ditunda ke satu tarikh yang tidak diumumkan.

Malangnya, hingga hari ini belum ada sebarang berita mengenainya.

Salah seorang pelakonnya, Amar Asyraf mengakui sudah berhenti berharap dan tidak mahu menunggu lagi bila tarikh pementasannya.

“Selama tiga bulan saya menunggu jika ada berita mengenai pementasan itu tetapi hampa. Rasanya sudah tiba masanya untuk saya teruskan dengan kerja lain,” katanya.

Menurut Amar, sebelum ini dia terpaksa menolak beberapa tawaran lain bagi memberi peluang kepada pementasan itu.

“Hampir 10 produksi menawarkan saya berlakon dalam drama dan filem, tetapi saya terpaksa tolak kerana pada waktu itu masih memberikan peluang kepada La Galigo.

“Sekarang, saya sudah mula terima tawaran dan teruskan dengan kerja lain. Ada juga pementasan teater lain yang saya sudah terima,” katanya.

Ditanya sama ada Amar trauma dengan apa yang berlaku, dia mengakuinya.

“Ya, memang sedikit trauma dan kalau ada tawaran berlakon teater, tentunya saya akan lebih cerewet,” katanya.

Sebagai pengkarya dan anak seni, Amar tidak mampu menghalang rasa kecewanya.

“Apa yang boleh saya katakan, saya sangat kecewa dan sehingga kini tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Terbaru, Amar akan menjalani penggambaran dua filem tidak lama lagi.

“Bulan depan saya akan menjalani penggambaran filem Blok 404 yang pernah diterbitkan dalam format VCD satu ketika dulu.

“Dalam filem ini, saya bergandingan dengan Zamarul Hisyam, Raja Azri, Nabila Huda dan ramai lagi.

“Satu lagi filem adalah Mia Tiara yang memulakan penggambaran Ogos ini. Selain saya, pelakon lain adalah Izzue Islam dan Fathia Latiff,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here