Amaran gempur oleh Erdogan boleh jejas inisiatif rundingan damai – SNC

0
95
Advertisement

BRUSSELS: Ketua Suruhanjaya Rundingan Syria (SNC) mendakwa kenyataan menentang kedudukan pengawal keselamatan sempadan Syria-Kurdish oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan boleh membahayakan masa hadapan rundingan damai.

Menurut Nasr Al Hariri, sebagai penaja rundingan damai Syria, Erdogan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan terhadap kumpulan terbabit yang terlibat secara langsung dalam siri rundingan.

“Saya fikir ini akan menjejaskan dinamika inisiatif rundingan damai Syria.

“Apa yang kita mahu adalah untuk semua pihak mematuhi resolusi Geneva dan 2254 untuk berunding secara langsung demi mencapai kedamaian dan kestabilan di Syria,” jelasnya.

Nasr berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Belgium, Didier Reynders di Brussels pada Selasa.

Pada Isnin, Erdogan mengumumkan akan mematahkan usaha kawalan sempadan oleh 30,000 anggota tentera Kurdish yang disokong Amerika Syarikat dengan menghantar pasukan tenteranya di sempadan terbabit.

Erdogan pada masa sama turut mengeluarkan amaran terhadap Washington agar tidak cuba mengeruhkan keadaan sedia ada yang turut melibatkan Ankara dalam isu tentera Turki dan tentera Kurdish.

Sementara itu, di timur Aleppo, media tempatan mengeluarkan rakaman pertempuran di antara rejim Bashar Al Assad dengan kumpulan militan.

Rejim Bashar didakwa melaksanakan misi menakluk semula kawasan pedalaman di tenggara wilayah Aleppo yang dikuasai militan.

Agensi berita Syria melaporkan rejim Bashar telah berjaya mengawal semula kampung-kampung di kawasan itu.

Minggu lalu, kumpulan pemberontak melancarkan serangan balas terhadap rejim Bashar yang cuba menggempur lokasi kumpulan pemberontak yang mengawal pangkalan udara di barat laut negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here