'Ambil pemain naturalisasi biar berkualiti…'

0
36
Advertisement



PENYERANG berpengalaman Mohd Safee Sali berharap hanya pemain naturalisasi yang boleh memberikan impak besar akan diberi peluang menyarung jersi Harimau Malaya.

Ini kerana baginya tiada guna mengambil pemain luar sekadar melengkapkan kuota naturalisasi jika prestasi tidak jauh beza dengan pemain tempatan. 

“Tidak guna kita ambil pemain naturalisasi tapi tidak boleh memberikan impak besar. Pemain naturalisasi mestilah pemain yang lebih bagus daripada pemain tempatan, bukan sekadar pelengkap dalam pasukan,” kata pemain PKNS FC itu.

Cadangan FAM untuk menyerap pemain naturalisasi ke dalam skuad kebangsaan mungkin tiada halangan selepas kerajaan memberi lampu hijau semalam.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, pemain naturalisasi bukan sesuatu yang baru dalam bola sepak dan ia boleh dipraktikkan asalkan pemain tempatan tidak terus tersisih.

Safee yang menjadi penjaring terbanyak ketika Malaysia merangkul kejuaraan pertama Piala AFF 2010 bagaimanapun mengganggap kehadiran pemain naturalisasi tidak akan menutup peluang buat pemain tempatan dalam skuad Harimau Malaya.

“Saya tidak melihat apabila FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bercadang untuk mengambil pemain naturalisasi, maka peluang pemain tempatan terus tertutup. 

“Pada saya skuad kebangsaan adalah tempat untuk pemain terbaik di negara ini, jadi pemain tempatan perlu lebih berusaha keras untuk bersaing merebut tempat.

“Jika perkara ini akan dilaksanakan, sudah pasti persaingan sesama pemain akan bertambah sengit dan terpulang kepada jurulatih untuk memilih pemain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here