AME 2018 platform memerangi kemurungan

0
23
Advertisement

KUALA LUMPUR : Pentas anugerah berprestij pilihan penonton, Anugerah Meletop Era (AME) bakal menjadi platform untuk menyampaikan mesej positif buat penggiat seni tanah air.

Selain mengiktiraf karya seni serta nilai komersial artis tempatan, ia berperanan untuk menyatukan para artis dan peminat.

Perkara itu yang cuba ditekankan oleh Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Haris.

“Kami merasakan, menyampai mesej positif adalah satu tanggungjawab untuk memerangi kemurungan dan budaya buli di alam maya yang sering terjadi terhadap penggiat seni pada waktu ini.

“Anugerah ini akan memberi fokus kepada artis-artis yang mendapat tempat di hati peminat. Namun kita juga sedar bahawa pada tahun 2017 terdapat banyak kecaman dan kebencian yang tular di media sosial.

“Oleh itu, kita mahu menjadikan pentas AME 2018 sebagai platform untuk menyampaikan mesej positif,” katanya selepas sidang media pencalonan awal ‘Top 20’ bagi AME 2018 di sini hari ini.

Dalam pada itu, AME bakal kembali untuk edisi kelima yang mana masih mengekalkan Neelofa dan Nabil Ahmad sebagai hos utama.

Neelofa ketika ditemu bual pada Isnin berkata, kelainan AME tahun ini akan memberi mesej bermakna buat penonton AME.

“Kami mahu pengguna media sosial di luar sana tahu bahawa penggiat seni adalah manusia biasa.

“Kepada keyboard warriors yang sering memaki hamun serta mencaci kami (penggiat seni), semua itu ada batasnya. Saya berharap pentas AME itu nanti bakal menjadi platform untuk kami sampaikan mesej tersebut,” tambahnya.

Selain itu, AME masih mengekalkan format asal dengan memberi kuasa memilih sepenuhnya kepada para peminat untuk mengundi sendiri calon-calon kegemaran mereka bagi 16 kategori yang dipertandingkan.

Undian fasa pertama untuk menyenarai pendek lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal dibuka mulai 22 Januari, 2018, jam 6.00 petang hingga 23 Februari 2018, jam 12.00 tengah hari.

Undian boleh dibuat secara online di tiga platform iaitu di laman web rasmi www.anugerahmeletopera.com.my; aplikasi ERA dan aplikasi Raku yang boleh dimuat naik secara percuma di App Store dan Google Play Store. 

AME bakal berlangsung pada Ahad, 8 April 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil selain dipancarkan terus di saluran Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Astro Maya HD (134).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here