AmInvest lancar dana teknologi robotik pertama Malaysia

0
47
Advertisement

KUALA LUMPUR: AmInvest, pengurus dana konvensional dan patuh syariah bagi AmInvestment Bank Bhd, melancarkan dana perantara teknologi robotik pertama Malaysia.

Ia akan melabur dalam AXA World Funds-Framlington Robotech untuk mendapatkan pendedahan kepada syarikat-syarikat pertumbuhan di seluruh dunia dalam bidang teknologi robotik dan berkaitan dengan robotik.

“Kami teruja untuk menawarkan peluang kepada pelabur kami memanfaatkan revolusi robotik global di ruang yang tidak bertumpu. Pasaran teknologi dan robotik dijangka berkembang 10 peratus hingga 15 peratus setahun sehingga 2025, yang menyokong pelancaran dana berkenaan.

“AmInvest mempunyai rekod prestasi yang baik dalam menyediakan dana ekuiti yang inovatif dan pertama ke pasaran seperti AmAsia Pacific REITs, AmASEAN Equity, Precious Metal Securities dan AmSchroders European Equity Alpha,” kata pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AmInvest Goh Wee Peng dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Robotech Fund AmInvest merupakan dana borong, yang menawarkan peningkatkan modal untuk pelaburan jangka panjang dan kepelbagaian portfolio melalui pendedahan dalam pasaran ekuiti global.

Pemegangan dana adalah pelbagai merangkumi aplikasi utama di mana teknologi robot memainkan peranan termasuk automasi industri, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pembuatan.

Dana melabur dalam Dana Sasaran, iaitu AXA World Funds-Framlington Robotech, yang diuruskan oleh AXA Investment Managers UK Limited.

Dana berkenaan memilih kira-kira 50 syarikat yang berkembang pesat untuk membina portfolio global yang pelbagai meliputi pasaran dan sektor.

Portfolio Dana Sasaran menawarkan pelabur akses kepada syarikat-syarikat robotik global dengan pendedahan kepada automasi industri, kenderaan tanpa pemandu, pembedahan dibantu robotik dan kecerdasan buatan.

Setakat akhir Jun 2018, saham utama Dana Sasaran termasuk Amazon, Alphabet, Apple, Siemens dan Infineon Technologies.

Mata wang asas dana itu ialah dalam dolar Amerika. Dana berkenaan menawarkan langganan dalam Ringgit dan dolar AS dengan pelaburan permulaan minimum, masing-masing sebanyak RM5,000 atau AS$5,000.

Pelabur boleh melanggan dana pada harga tawaran RM1 atau US$1 seunit semasa tempoh tawaran permulaan dana sehingga 28 Ogos. Dana itu diagihkan oleh AmBank (M) Berhad, AmPrivate Banking bagi AmInvestment Bank Berhad, Philip Mutual Berhad dan iFAST Capital Sdn Bhd.

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here