Amirul Agam dipilih sebagai Geng Baru Gegar!

0
291
Advertisement
KUALA LUMPUR: Stesen radio Gegar akhirnya menemui bakat yang dicari untuk menjadi ahli keluarga baharu sebagai penyampai sepenuh masa Permata Pantai Timur itu!

Selepas sebulan pencarian, 289 penyertaan dan lima finalis; Muhamad Amirul Agam Iryadi, 26 tahun dipilih sebagai Geng Baru Gegar, dan dia berhasrat untuk membawa ‘evolusi’ pengalaman mendengar radio kepada para pendengar khususnya audiens pantai timur.

“Sebelum ini saya sudah banyak kali mencuba, tapi mungkin sebab kekangan masa kerja yang mengehadkan langkah saya untuk terus ke depan. Kali ini ada peluang saya akan buat betul-betul dan belajar untuk ketengahkan lagi bakat saya.

“Secara amnya saya lihat pendengar pantai timur ini agak kurang pada media sosial, jadi saya ingin ‘ambil hati’ dan tarik orang ramai untuk bukan sahaja mendengar di radio tetapi juga mengikuti kandungan di platform digital,” katanya selepas diumum sebagai pemenang pencarian Geng Baru Gegar hari ini.

Agam dan empat finalis lain yang dipilih dua minggu lepas telah melalui pelbagai bentuk tugasan dan cabaran dalam untuk menguji dan mempamerkan kebolehan masing-masing dalam memenuhi kriteria diperlukan sebagai seorang penyampai.

Finalis pencarian Geng Baru Gegar dari kiri; Agam, Syera, Aishah, Syadi, Scha

Antaranya merakamkan suara untuk pesanan khidmat masyarakat, ‘voice-over’ berita, mengendalikan wawancara, menghasilkan kandungan platform digital, dan beraksi sebagai penyampai sebenar di konti dalam segmen-segmen berbeza.

Aksi mereka melunaskan tugasan itu dirakam dan disiarkan di YouTube rasmi Gegar, untuk dinilai audiens yang turut terlibat dalam proses pemilihan menerusi undian di Facebook Gegar sepanjang minggu lepas.

Datuk AC Mizal, yang bertindak sebagai salah seorang juri final melihat Agam mempunyai sesuatu yang boleh digilap dan percaya anak muda dari Ampang itu mampu melangkah lebih jauh.

“Sekarang ini kalau mahu menjadi ‘deejay’ radio pun kena ada ‘versatility’ maksudnya dia boleh buat semua, sebab kadang-kadang tugasan memerlukan dia untuk keluar dari konti.

“Agam memiliki potensi itu dan bagi saya pemilihannya sebagai juara memang tepat,” kata beliau.

Selain AC Mizal, turut bersamanya di meja juri akhir adalah penyampai dan personaliti Era, Jaa Suzuran dan Pengurus Kandungan radio tersebut, Raja Nadia Salwana Raja Hisham.

Juri final pencarian Geng Gegar dari kiri; Pengurus Kandungan Gegar, Raja Nadia Salwana Raja Hisham; penghibur, Datuk AC Mizal; dan personaliti Era, Jaa Suzuran.

Menurut Raja Nadia, Agam dilihatnya mempunyai kebolehan untuk memperluas capaian radio itu yang selama ini lebih tertumpu kepada citarasa pendengar wilayah pantai timur.

“Kita mahu ‘engage’ dengan kelompok audiens yang lebih muda, tanpa meminggirkan kelompok pendengar setia yang rata-ratanya berusia 30 hingga 40 tahun.

“Untuk sekarang kami sudah mempunyai barisan penyampai yang kuat, yang sudah sebati dengan selera pantai timur, dan ahli baharu ini adalah orang yang akan menjadi jambatan antara yang muda dan yang sedia ada,” jelasnya.

Selain Agam, finalis lain adalah Siti Nor Aishah Che Hasnan, 23 tahun dari Bachok, Kelantan; Syeherah Mustafa (26 tahun) dari Rantau Panjang, Kelantan; Muhammad Irsyadi Mohamad Nor (26 tahun) dari Perak; dan Wan Nur Shafieqa Wan Musa (24 tahun) dari Kuantan, Pahang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here