Amuk bunuh lapan orang

0
40



Mississippi (Amerika Syarikat: Seorang lelaki mengamuk dan menembak mati lapan orang termasuk seorang anggota polis dan ibu mentuanya di tiga kediaman berasingan di Mississippi selepas pertengkaran dengan isterinya, hujung minggu lalu.

Willie Corey Godbolt, 35, dilaporkan bertengkar dengan isterinya yang sudah berpisah dengannya mengenai anak-anak mereka menyebabkan jiran menghubungi polis.

Anggota polis William Durr, 36, yang datang menyiasat ditembak mati sebelum Godbolt turut melepaskan tembakan yang membunuh tiga wanita lain di dalam rumah berkenaan.

Isteri Godbolt sempat melarikan diri bersama dua anak dan bapa tirinya, Vincent Mitchell.

Godbolt bagaimanapun pergi ke satu kediaman lain yang terletak 24 kilometer dari situ dan menembak mati dua remaja lelaki, sebelum dia pergi ke tempat kejadian ketiga tidak jauh dari situ, tempat mayat seorang lelaki dan wanita kemudian ditemui.

Ketika akhirnya dia ditangkap, Godbolt berkata, dia kehabisan peluru dan mengharapkan dirinya mati ditembak polis.

“Saya tidak layak hidup selepas apa yang saya lakukan,” katanya dipetik akhbar tempatan.

Sementara itu, Mitchell berkata, isteri Godbolt meninggalkannya kerana sering didera.

“Dia membawa dua anaknya tinggal bersama saya dan isteri sejak tiga minggu lalu untuk berlindung daripada suspek,” katanya.

Godbolt mendakwa jiran-jirannya ‘menyibuk’ dan mencampuri perbincangannya dengan bekas isteri serta Mitchell menjadi punca kematian Durr.

“Saya minta maaf. Mereka (jiran) punca saya membunuhnya kerana mereka menyibuk,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here