Amyra puasa dalam alahan

0
74


PELAKON, Amyra Rosli dan suaminya, Amar Baharin. – Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Faktor alahan tidak menghalang pelakon, Amyra Rosli, 26, yang sedang berbadan dua, menunaikan ibadat puasa.

Amyra memberitahu, cubaan pertamanya berpuasa penuh, Sabtu lalu, berjaya, namun disebabkan kerap muntah, dia tidak dapat meneruskannya, semalam.

“Alhamdulillah, saya dan bayi dikandung sihat. Doktor galakkan berpuasa malah ada ubat-ubatan yang perlu saya ambil. Hari pertama Ramadan saya dapat berpuasa penuh.

“Cuma semalam saya gagal melakukannya kerana muntah-muntah,” katanya kepada BH Online.

Mengakui sudah mula menyesuaikan diri dengan perubahan biologi tubuh, Amyra berkata, berat badannya bertambah dua kilogram.

“Ketika awal kehamilan saya tidak ada selera makan. Badan menyusut daripada 45 kilogram (kg) kepada 42 kg.

“Alhamdulillah, ketika usia kandungan memasuki empat bulan, berat badan saya meningkat dua kg. Muntah-muntah itu perkara biasa dan saya sudah boleh menyesuaikan diri.

“Malah, baju pun semakin besar sekarang,” katanya.

Mengenai jantina bayi yang dikandung, bintang drama Isteri Tuan Ihsan ini berkata:

“Saya akan maklumkan apabila sudah mendapat tahu. Buat masa sekarang, doktor nasihatkan saya banyakkan berehat dan menjaga kandungan,” katanya.

Ketika ini, Amyra hanya terbabit dengan aktiviti berkaitan dengan produk diwakilinya.

“Suami (Amar Baharin) sekarang sibuk dengan penggambaran drama 26 episod. Dia tak mahu ambil cuti sebab mahu berehat panjang ketika saya melahirkan anak, akhir tahun ini.

“Tawaran berlakon saya tolak daripada awal lagi. Namun, undangan muncul di majlis dan sesi fotografi, saya masih mampu melakukannya,” katanya.

Amyra dan Amar mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu selepas lebih setahun bercinta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here