Anak bawa Harris Baba dekati agama

0
84


Artis Harris Baba (kiri) bersama isterinya, Nik Naziha Zawawi sewaktu sarat mengandung tujuh bulan ketika majlis pelancaran Kelab Peminat Harris Baba di Hotel Royal Kuala Lumpur. – Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Kelahiran cahaya mata sulung bukan sekadar menyerikan kehidupan rumah tangga, sebaliknya secara tidak langsung turut mengubah kehidupan penyanyi Harris Baba untuk lebih mendekati agama.

Penyanyi digelar Zayn Malik Malaysia itu berkongsi dengan BH Online, status baru disandangnya itu juga mematangkan tindak-tanduknya artis berusia 26 tahun itu mahu dirinya menjadi teladan kepada anak-anaknya kelak.

“Anak perempuan saya, Aleena Ziya banyak mengajar saya erti kehidupan, malah membuatkan saya lebih matang berbanding dulu. Alhamdulillah, saya juga semakin dekat dengan agama selepas kehadiran cahaya mata sulung.

“Tanggungjawab sebagai bapa masih baharu dalam hidup saya dan tidak dinafikan, saya agak kekok menggalas peranan itu. Biarpun mencabar, ia banyak mengubah saya menjadi lebih baik sekali gus meninggalkan tabiat lama sebelum berkahwin.

Harris terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak yang kini berusia tiga bulan di Keningau, Sabah.

“Syukur Aleena tidak banyak kerenah seperti berjaga di tengah malam. Waktu tidur saya dan isteri belum terganggu setakat ini, cuma saya sedikit penat kerana berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Sabah disebabkan isteri dan anak masih tinggal di sana,” katanya.

Walaupun terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak yang kini berusia tiga bulan di Keningau, Sabah, Harris tetap menjadikan keluarga sebagai keutamaan.

Penyanyi kacukan Pakistan, Iran dan Cina itu yang mendirikan rumah tangga dengan Nik Naziha Nawawi, 22, pada Mei tahun lalu turut berhasrat membawa keluarganya tinggal bersamanya di sini, tidak lama lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Harris tampil dengan single kedua berjudul Parah hasil ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo yang berbeza genre berbanding pertaruhan pertamanya dulu sebagai penyanyi.

“Tidak saya nafikan lagu Parah sangat mencabar kerana vokal saya lebih agresif dan bernada tinggi berbanding Katakan yang lebih mudah dibawa.

“Selain itu, gabungan elemen muzik Hindi dan Melayu dalam Parah memberikan sesuatu yang baharu dalam muzik yang saya bawa,” kata Harris.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here