Anak lelaki Trump jumpa peguam Russia

0
12


WASHINGTON: Anak lelaki Presiden Donald Trump, Donald Trump Jr setuju bertemu dengan peguam yang mempunyai hubungan dengan Kremlin, ketika kempen Pilihan Raya Presiden lalu selepas dijanjikan maklumat memalukan mengenai Hillary Clinton.

Donald Trump Jr. – Foto AFP

Akhbar New York Times, semalam mendedahkan maklumat dengan memetik tiga penasihat Rumah Putih.

“Pengerusi kempen Trump ketika itu, Paul Manafort dan menantunya, Jared Kushner turut menghadiri pertemuan itu di Trump Tower pada 9 Jun 2016, dua minggu selepas Trump menang pencalonan Parti Republikan,” lapor agensi media itu.

Dalam satu kenyataan yang dipetik media itu dan kemudian dilaporkan Reuters dan beberapa media lain, Donald Trump Jr mengesahkan pertemuan dengan peguam Russia, Natalia Veselnitskaya.

“Selepas beramah mesra, wanita itu memaklumkan beliau mempunyai maklumat mengenai individu yang dikaitkan dengan pihak Russia yang menaja Jawatankuasa Nasional Demokrat dan menyokong Clinton.

“Kenyataan beliau tidak jelas dan tidak masuk akal. Tiada perincian atau maklumat sokongan diberikan.

“Ia kemudian menjadi jelas bahawa beliau tidak mempunyai maklumat berguna,” kata kenyataan itu.

Trump Jr berkata, Veselnitskaya kemudian menukar topik perbualan kepada pengambilan kanak-kanak Russia sebagai anak angkat dan mengenai undang-undang Amerika Syarikat yang menyenaraihitamkan warga Russia dikaitkan dengan salah laku hak asasi manusia.

Dalam satu kenyataan menerusi e-mel, jurucakap pasukan peguam Trump, Mark Corallo berkata, Presiden Trump tidak mengetahui atau menyertai pertemuan itu.

Trump Jr berkata, beliau diminta menyertai mesyuarat dengan seorang individu yang difahamkan mempunyai maklumat bagi membantu kempen atas permintaan kenalannya daripada pertandingan ratu cantik Miss Universe 2013.

“Saya meminta Jared dan Paul datang, namun memaklumkan mereka ia maklumat tidak berguna.

“Pertemuan itu berlangsung selama 30 minit dan kenalan saya meminta maaf kerana membazirkan masa kami,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu tiada pertemuan susulan dan bapanya tidak tahu apa-apa mengenai mesyuarat itu.

– Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here