Anak muda usaha tukar persepsi terhadap jenama tempatan

0
71
Advertisement

Sering kecewa dengan kualiti produk jenama tempatan, seorang anak muda mencabar diri untuk menghasilkan jenama jeans yang setaraf dengan kualiti antarabangsa.

Pengasas Tarik Jeans, Afiq Iskandar Zainal Ariffin, 32, berkata walaupun terdapat  banyak jenama jeans keluaran tempatan, namun tidak banyak yang benar-benar memberi perhatian kepada kualiti dari segi reka bentuk kepada produk yang dikeluarkan.

Bertitik tolak dengan percubaan menghasilkan jeans untuk kegunaan sendiri dan memenuhi permintaan rakan-rakan terdekat, berbekalkan modal awal daripada bapanya pada 2009 beliau memulakan perniagaan menjual jeans secara dalam talian.

“Tetapi saya tidak mahu sekadar bergantung pada label ‘produk tempatan’…saya cuba meletakkan jenama ini pada standard tersendiri dengan memberi penekanan khusus  kualiti serta kehendak pelanggan.

“Dengan kualiti yang baik dan harga berpatutan, pengguna mempunyai pilihan sama ada jeans keluaran antarabangsa atau tempatan kerana produk tempatan juga tidak  kurang hebatnya,” katanya kepada Bernama. 

Mengakui bukan mudah untuk bertapak dan meyakinkan pembeli memilih label jenama persendirian, Afiq Iskandar yang juga gitaris kumpulan Oh Chentaku itu menyifatkan setiap rekaannya  berjaya menyelesaikan masalah penggemar jeans yang mahukan ukuran mengikut citarasa pengguna Malaysia.

“Kami cuba menyesuaikan rekaan dengan cuaca, potongan seluar itu mengikut citarasa dan keselesaan pengguna yang mahu mengikut trend semasa iaitu memiliki skinny jeans atau sebarang rekaan trend luar negara.

“Rekaan kami, sekali gus menyelesaikan masalah penggemar jeans di negara ini dan itu menjadi fokus dalam setiap rekaan, ” katanya yang memiliki hampir 10 rekaan jeans termasuk jenis Slim Ramlee dan Skinny Din.

Menyentuh pemilihan jenamanya, Afiq Iskandar berkata identiti Malaysia yang diterap selari dengan idea Tarik Jeans, iaitu untuk meraikan kepelbagaian budaya di negara ini, sesuai slogannya ‘Denim Untuk Rakyat’.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here