Anak Nieyl meninggal dunia

0
280
Advertisement



IMPIAN penyanyi Nieyl Mentor untuk menimang cahaya mata lelaki tidak kesampaian apabila bayi dalam kandungan meninggal dunia selepas dilahirkan pra matang pada usia enam bulan, 1 Julai lalu.

Nieyl atau Nurylia Jailani, 35, berkongsi perkara itu dengan memuat naik foto imbasan kehamilan beserta keterangan gambar: “Saya mungkin tidak dapat membesarkan kamu, tetapi kamu akan sentiasa berada dalam hati saya. Al Fatihah.”

Nieyl ketika dihubungi berkata, dia reda dengan ketentuan Allah SWT selain menganggap belum rezeki untuk mendapatkan anak ketiga.

“Pada malam itu, ketika nak tidur saya berasa kejang pada perut. Saya terus ke Hospital Sunway berdekatan rumah, 3.30 pagi.

“Sampai di bahagian kecemasan iaitu lebih kurang jam 4.15 pagi, saya terus bersalin. Sakitnya hanya Allah saja tahu.

“Ketika dilahirkan, anak masih hidup. Saya sempat melihat anak dalam tempoh dua hingga tiga minit sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi perkara itu, Nieyl berkata, disebabkan faktor lasak dan mengangkat barang berat punca dia melahirkan anak pra matang.

“Sewaktu bulan Ramadan lalu, saya berpindah rumah. Jadi, saya tolong suami kemas dan angkat barang.

“Mungkin disebabkan terlalu lasak dan penat, rahim mendapat tekanan hingga membuatkan saya bersalin awal. Namun, buat masa sekarang doktor belum memaklumkan punca sebenar,” katanya yang masih menjalani tempoh berpantang.

Anak yang meninggal dunia itu diberi nama Darwin Shah.

Nieyl dan suami, Dazma Shah Daud mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan dua anak perempuan iaitu Damia, sembilan tahun dan Dalia, dua tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here