Anda mahu jadi penyanyi? Serlahkan bakat anda di Kugiran SINAR

0
90
Advertisement
ANDA mempunyai bakat menjadi penyanyi dan minat mendalam dalam bidang muzik?

Radio SINAR membuka peluang untuk anda merealisasikan impian menjadi penggiat seni dan membuat persembahan secara langsung di khalayak ramai melalui kempen ‘Kugiran SINAR’.

Kugiran SINAR akan memulakan penjelajahan ke tiga lokasi seluruh Malaysia iaitu Johor, Pulau Pinang dan Selangor pada 23 Mac untuk mencari bakat terpendam yang bakal diangkat sebagai juara dan berpeluang mempersembahkan bakat nyanyian dengan iringan pemuzik legenda tahun 90-an.

Bagi anda yang berminat untuk menyertai kempen ini, anda perlu memuat naik sebuah video nyanyian tanpa muzik (unplugged) di laman sosial Instagram dengan hashtag #kugiranSINARIJMLAND.

Sepuluh peserta terpilih akan bertanding untuk gelaran juara dalam acara on-ground Kugiran SINAR bagi merebut hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Menurut Pengurus Kandungan SINAR, Rasidah Khasim, idea ini tercetus setelah melihat sendiri bakat terpendam dalam kalangan rakyat Malaysia. 

“Setelah beberapa tahun kami membuat penjelajahan seperti ini, saya berani berkata bahawa rakyat Malaysia merupakan antara yang berbakat dalam aktiviti hiburan nyanyian ini. Ke mana sahaja kami pergi, pasti akan ada yang mengagumkan kami dengan alunan suara mereka. 

“Oleh itu, Kugiran SINAR menggalakkan penyertaan secara dalam talian untuk kami saringkan kepada Top 10, dan dari situ kami ingin mengajak pendengar setia kami untuk bertemu kami di lokasi terpilih,” katanya dalam satu kenyataan media.  

Dalam pada itu, penyampai-penyampai SINAR seperti Jep, Rahim, Angah, SY, Adi, Abby dan Jamal akan turut memeriahkan penjelajahan ini.

Sumber: www.sinar.my

Lebih peluang untuk menang

SINAR turut mengadakan satu lagi kempen yang diberi nama ‘Silangkata SINAR’ yang bakal bermula 9 April nanti.

‘Silangkata SINAR’ yang diilhamkan oleh permainan latihan minda traditional itu akan menguji kepantasan cara pemikiran para pendengar untuk menjawab soalan dengan betul dalam masa yang ditetapkan.

Pendengar yang berjaya memberikan jawapan tepat berpeluang merebut sebahagian daripada hadiah wang tunai bernilai RM16,000. Bagi setiap jawapan yang salah, wang terkumpul akan dibawakan ke segmen seterusnya.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari www.sinar.my atau ikuti laman media sosial SINAR di Facebook, Twitter dan Instagram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here