Andre, Hesti hidupkan Pagi-Pagi

0
19



Program bual bicara Pagi-Pagi yang menampilkan pengacara Andre Taulany dan Hesti Purwadinata sememangnya berjaya mencuri tumpuan peminat di Indonesia.

Gaya penyampaian santai serta karakter mereka yang bersahaja dan kelakar berjaya menghidupkan program menampilkan isu semasa, kejutan, permainan dan pelbagai informasi berguna kepada penonton ini.

Selain rakyat Indonesia, program ini turut boleh diikuti oleh peminat Malaysia setiap hari jam 9 pagi di saluran Pelangi 142 dalam pakej Indo Pek Astro.

Menariknya, Andre, 43, bukan seorang pelawak, namun keserasian gandingan dengan Hesti berjaya menjadikan Pagi-Pagi sebagai program tontonan rutin penonton di rumah.

Hesti pula bermula sebagai pelakon sinetron dan selepas berkahwin dan mempunyai anak, lebih fokus kepada karier pengacaraan.

Ditemui media Malaysia ketika sesi rakaman program Pagi-Pagi di Studio Pengadegan, Jakarta, baru-baru ini, Andre mengakui sukar mempercayai dia mempunyai karakter seorang pelawak.

“Secara jujurnya, saya seorang pelakon yang hanya membawakan watak yang diberikan oleh pengarah. Realitinya saya seorang yang berperwatakan serius.

“Kebetulan, saya diundang menjadi tetamu jemputan sebuah program komedi di sebuah stesen. Ternyata bakat saya berjenaka mendapat perhatian daripada pihak produksi,” katanya.

Andre pernah menyanyi dan membintangi beberapa sinetron popular Indonesia, malah dia pernah terbabit dalam program Opera Van Java dan Pas Mantab.

“Karier saya berubah apabila terbabit dalam program berkonsepkan permainan bersama beberapa pelawak, lucunya saya dilihat lebih kelakar daripada mereka.

“Bermula dari situ, saya akhirnya ditawarkan terbabit dengan program itu dan secara tak langsung kerjaya sebagai pelawak pun bermula,” katanya.

Dengan kebolehan yang ada padanya, Andre sering melakonkan pelbagai karakter yang diwujudkan sesuai dengan sesuatu isu yang ditampilkan dalam Pagi-Pagi.

Melihat kelincahan dan kepetahannya ketika berbual, Hesti sememangnya layak mengendalikan program Pagi-Pagi.

Hesti, 34, mengakui menyukai kerjayanya dan tidak keberatan menghabiskan masa kira-kira lima kali seminggu untuk rakaman Pagi-Pagi.

“Biasanya kami berjaya menghabiskan rakaman untuk tiga episod setiap hari. Keserasian saya dengan Andre memudahkan pasukan produksi menyiapkan setiap episod dengan lancar.

“Saya sudah terbabit dengan program ini sejak dua tahun lalu dan melihat banyak perubahan dibuat bagi memantapkan lagi Pagi-Pagi,” katanya.

Hesti mula bergandingan dengan Andre sejak setahun lalu. Pada awalnya mereka sukar membentuk keserasian kerana pelbagai faktor antaranya perbezaan umur.

“Sebenarnya resipi kejayaan program ini ialah kami menjadi diri sendiri. Kebanyakan idea yang keluar ketika rakaman adalah secara spontan.

“Di Indonesia, persaingan daripada stesen TV lain ialah mereka menyiarkan program hiburan, jadi Pagi-Pagi perlu lebih dekat dengan penonton kerana yang menonton ialah suri rumah. Untuk itu kami perlu lebihkan informasi agar mereka mengikuti program ini,” katanya.

Biarpun masih merindui lakonan sinetron, Hesti akur masanya terbatas kerana selain Pagi-Pagi, dia juga mengacara program Tonight Show yang turut disiarkan di saluran Pelangi 142 pada jam 11 malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here