Angin 'kacau' Tiffany

0
286
Advertisement



LONDON: Bintang Thailand, Ariya Jutanugarn dan pemain Korea Selatan, Amy Yang melangkah ke pusingan akhir Terbuka Scotland selaku pendahulu dengan kelebihan satu pukulan berbanding Tiffany Joh yang sekadar melakar sembilan di atas par 80.

Tiffany yang tidak pernah menang Jelajah LPGA, gagal mengekalkan rentak permainan selepas angin yang bertiup 35 batu sejam kerap ‘menghukumnya’.

Pada awal permainan, Tiffany, 31, berjaya menjarakkan pendahuluan daripada tiga kepada empat pukulan menerusi birdie di lubang kedua tetapi selepas itu, pemain Amerika Syarikat berkenaan mula tidak tentu arah hingga pada satu masa tercicir tujuh pukulan sepanjang enam lubang.

Dalam keadaan cuaca berangin, tidak seorangpun daripada lima pemain teratas yang mampu mencatat pukulan di bawah par. Amy dan juara Terbuka AS, Ariya melakar dua di atas 73. Bagaimanapun, secara keseluruhan mereka mengumpul lapan di bawah par sekali gus memiliki kelebihan satu pukulan berbanding pemain Australia, Minjee Lee.

Amy lebih bijak mengawal permainan berbanding rakan sekumpulannya, Tiffany manakala Ariya berjaya membenam eagle di lubang ke-16 untuk berkongsi pendahuluan dengan pemain Korea Selatan itu.

“Ketika angin mula bertiup kencang, saya kata kepada diri sendiri ‘inilah Terbuka Scotland. Inilah wajah sebenar pertandingan ini,” kata Ariya.

“Saya hanya cuba untuk berseronok dan saya benar-benar melakukannya. Bola yang saya pukul ‘terbang’ merata-rata,” tambah Ariya.

Amy bangkit daripada kesilapan sebelumnya dengan membenam birdie di lubang 17 dan 18 dan ia dianggap sebagai penutup yang baik untuk hari lahir ke-29 baginya, hari ini.

“Saya hampir terlupa bahawa hari ini adalah hari lahir saya,” kata Amy.

“Saya hanya menumpukan perhatian mengenai apa yang perlu saya lakukan di padang tetapi ramai juga yang mengucapkan selamat ulang tahun kepada saya.”

Mengekori rapat kedua-duanya ialah juara dua kejohanan utama, So-yeon Ryu dan Haeji Kang.

Catatan terbaik hari ketiga dipegang pemain Australia, Sarah Kemp yang menamatkan saingan dengan 67 pukulan untuk berkongsi tempat ke-10, lima pukulan di belakang pendahulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here