Angkat martabat produk halal ke peringkat lebih tinggi – TPM

0
41

SERI KEMBANGAN: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Malaysia meneruskan momentum untuk kekal berada di barisan hadapan dalam industri produk halal dunia.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri mahu komitmen luar biasa antara pemain industri, sektor perbankan, ulama dan juga saintis dikekalkan.

Justeru, beliau yang juga pengerusi Majlis Halal Malaysia mengingatkan semua pihak bahawa halal bukan sekadar logo dan makanan, tetapi juga perlu dilihat kepada kebolehpasaran produk.

“Halal Fiesta ASEAN (HALFEST ASEAN 2017) yang dianjurkan ini bukan sekadar menunjukkan produk halal Malaysia dan industri berkaitan dengannya tetapi tempat untuk berkongsi pengalaman dan memberi peluang untuk lebih ramai menceburi pasaran halal.

“Saya percaya dengan kerjasama dan perkongsian pintar, bukan sekadar menghasilkan barang untuk kegunaan orang Islam semata-mata sebaliknya menawarkan produk berkualiti tinggi dan mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama ini juga akan pastikan produk halal tidak dianggap sebagai kelas kedua tetapi perlu berada setaraf dengan produk ‘high-end’ dengan strategi pemasaran, penjenamaan dan kualiti yang baik,” katanya berucap melancarkan HALFEST ASEAN 2017, pada Rabu.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Rizuan Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin.

Ekspo halal terbesar negara itu diadakan di Pusat Pameran MINES, Kuala Lumpur bermula Rabu hingga Ahad ini membabitkan lebih 550 ruang pameran dengan 60 peratus adalah peserta bumiputera.

Dengan 6,000 produk dan perkhidmatan halal dipamerkan, HALFEST 2017 dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here