Anis Al-Idrus kini sah bergelar isteri

0
18


ANIS pada majlis perkahwinannya dengan Mohd Rafzan di Shah Alam, malam ini. – Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Pelakon, Anis Al-Idrus, sah menjadi suri Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim dengan dua kali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di sini, malam ini.

Pasangan itu disatukan dalam majlis istimewa yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat di sebuah ruang acara yang disewa khas.

Anis dan Mohd Rafzan, yang memilih persalinan sedondon putih, selamat dinikahkan oleh bapa artis wanita terbabit, Syed Zainal Syed Abu Bakar Al-Idrus, di hadapan Imam dan jurunikah Masjid Al-I’tisam TTDI Jaya, Ustaz Mohd Fairus Shuaib, kira-kira jam 9.40 malam tadi.

Kelihatan tenang ketika majlis berlangsung, Anis bagaimanapun menitiskan air mata sebaik saja mereka disahkan menjadi suami isteri.

Anis atau nama penuhnya Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus menerima mas kahwin berupa satu set barang kemas daripada pengantin lelaki, sementara wang hantaran pula dirahsiakan jumlahnya.

Pada majlis itu, pengantin perempuan turut menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tiga daripada pengantin lelaki.

“Syukur akhirnya semua dipermudahkan dan doakan agar kami terus bersama di dunia dan akhirat.

“Terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan memeriahkan majlis sederhana kami,” kata pelakon Duda Terlajak Laris itu yang turut dikenali sebagai penyanyi dan pengacara.

Penampilan Anis pada malam itu juga turut dilengkapi dengan mahkota tajaan Habib yang dilaporkan bernilai ratusan ribu ringgit.

Pernikahan mereka turut disaksikan seramai 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak.

Sebelum ini, pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 24 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup, manakala majlis berinai bertemakan tradisional pula berlangsung semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here