Anjung Malaysia tarikan terkini KLIA

0
15

SEPANG: Anjung Malaysia yang menampilkan kebudayaan dan cita rasa Malaysia menerusi seni bina, produk dan makanan tempatan menjadi tarikan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Bertempat di Balai Pelepasan di tingkat lima KLIA, kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai Anjung Tinjau itu menawarkan juadah tempatan seperti nasi lemak, rojak buah, laksa, mi Ipoh dan kuih-kuih tradisional selain permainan tradisional antaranya congkak, batu seremban dan dam untuk dicuba oleh pengunjung dan pelancong.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang menyaksikan demonstrasi melukis batik di samping  mengimbas kembali sejarah negara menerusi paparan gambar-gambar Malaysia di era 50-an dan 60-an.

Ketika melancarkan Anjung Malaysia pada Selasa, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata inisiatif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mewujudkan atmosfera sedemikian akan memberi kesan jangka panjang kepada pelawat dengan kenangan yang berkekalan.

“Malaysia Aiports melakukan usaha berterusan untuk meningkatkan bukan sahaja aspek fizikal lapangan terbang dari segi kerja-kerja menaik taraf dan menambah baik tetapi juga memastikan ikatan emosi terhadap Malaysia kekal kukuh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata Anjung Malaysia merupakan antara cara memperkenalkan Malaysia kepada dunia dengan membawa tradisi dan budaya tempatan ke lapangan terbang dan mewujudkan persekitaran ‘kepulangan disambut’ untuk rakyat Malaysia.

“Penyepaduan identiti kebangsaan kita dengan wawasan, jenama dan strategi penyampaian perkhidmatan Malaysia Aiports akan menjadi faktor yang membezakan KLIA,” katanya dalam ucapan.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB Mohammad Nazli Abdul Aziz.

Beliau berkata Anjung Malaysia berperanan serampang dua mata iaitu mengetengahkan apa yang ditawarkan oleh Malaysia menerusi usahawan kecil dan sederhana yang diberi peluang mempamerkan produk mereka kepada masyarakat antarabangsa. 

Sementara itu, Mohamad Nazli berkata MAHB merancang untuk memperluas konsep Anjung Malaysia ke empat lagi lapangan terbang iaitu klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Kesemua lapangan terbang ini akan mempunyai tema masing-masing dan akan dilaksana dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam perkembangan lain, Liow berharap 20 lagi kesalahan yang akan ditambah di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) dapat mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini.

“Sistem yang kita lancarkan pada awal tahun ini hanya meletakkan dua kesalahan sahaja iaitu langgar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju. Bagaimanapun, faktor-faktor seperti memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan dan penggunaan telefon bimbit semasa memandu turut menyebabkan kemalangan.

“Saya bimbang tentang penggunaan telefon bimbit semasa memandu kerana bilangan kemalangan disebabkan faktor ini meningkat,” katanya.

Liow berkata tambahan kesalahan itu akan dikuat kuasa tahun depan.

— BERNAMA

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here