Annuar, Hamidin tentu Presiden FAM

0
12
Advertisement



SEPERTI dijangka, pertembungan dua penjuru jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat disaksikan selepas seorang lagi calon, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan untuk merebut jawatan berkenaan.

Bekas Timbalan Presiden FAM itu mengumumkan keputusan untuk menerima pencalonan bagi ‘kerusi panas’ itu menerusi akaun Facebooknya, hari ini – tiga hari sebelum tarikh tutup pengesahan pencalonan.

Situasi itu sekali gus menyaksikan tiada ‘kemenangan percuma’ buat Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin meskipun beliau menjadi calon pilihan selepas mendapat 18 pencalonan daripada ahli gabungan badan induk berkenaan.

“Terima kasih Yang Berbahagia Datuk Yusoff Mahadi, Pemangku Presiden FAM yang datang ke pejabat saya untuk menghantar borang pencalonan Presiden FAM.

“Saya merasakan perwakilan Kongres FAM, Julai nanti wajar diberikan peluang memilih antara alternatif yang berbagai-bagai dan berbeza secara bebas dan terbuka tetapi dalam suasana penuh semangat kesukanan.

“Sudah lama bola sepak negara tercari-cari dan ternanti-nanti satu sentuhan yang benar-benar mengangkat bola sepak Malaysia ke satu tahap baharu.

“Sesuai dengan semangat itu, saya mengesahkan sudah membuat keputusan untuk menerima pencalonan bagi jawatan Presiden FAM,” katanya.

Kelmarin, persaingan tiga penjuru yang diharapkan tidak menjadi apabila seorang lagi calon iaitu Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menolak pencalonan untuk bertanding jawatan berkenaan.

Sambil mengakui terpaksa mengambil masa untuk membuat keputusan itu, Azim menjelaskan faktor ingin memberi fokus kepada jawatan lain termasuk sebagai Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) menyebabkan beliau berbuat demikian.

Sebelum ini, Yusoff mengesahkan hanya Hamidin yang sudah mengesahkan pencalonan untuk merebut kerusi yang ditinggalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu dengan pemilihan dijadualkan berlangsung pada kongres badan induk itu, 14 Julai ini.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here