Annuar harap FMLLP pertimbang semula

0
90



PENASIHAT Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan tindakan berat sebelah Usaha Sama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap pasukan Kelantan.

Beliau berkata, kini KAFA terpaksa membayar gaji kedua pemain importnya, Alessandro Celin dan Seydi L’Imam walaupun status pendaftaran Seydi masih belum diketahui.

Disebabkan itu juga The Red Warriors (TRW) terpaksa menggunakan pemain import yang tidak cergas.

“Saya terpedaya dengan ‘text message’ pihak tertentu kononnya, sekira kita setuju (Mohammed) Ghaddar berpindah, bayaran yang dikira lumayan, maka bolehlah KAFA beli pemain lain.

“Waktu itu saya langsung tidak tahu kita sudah tertakluk kepada sekatan mendaftar pemain baru,” katanya menerusi entri terbaru Facebook miliknya.

Beliau berkata, sekiranya KAFA mengetahui perkara itu (sekatan pemain), pemindahan pemain ke pasukan lain tidak akan dilakukan.

KAFA juga sudah menamatkan kontrak Celin sejak April lalu dan mendapat kebenaran daripada FMLLP.

“Rancangan asal ialah untuk menggantikan seorang pemain import yang tidak cergas dan berprestasi rendah dengan notis penamatan kontrak sudah diputuskan April lagi.

“Tetapi anehnya, pemain yang sudah dibatalkan pendaftarannya oleh FMLLP didaftarkan semula selepas KAFA mengemukakan pendaftaran baru Seydi,” katanya.

Annuar mahu FMLLP mempertimbangkan semula semua perkara ini dan tidak menganiaya KAFA yang kini memikul beban gaji dua pemain import.

“Kenapa mesti TRW dilayan buruk oleh FAM dan FMLLP, sedangkan kita sudah banyak menyumbang termasuk FAM.

“Yang kita perlukan adalah keadilan dan keputusan yang tertib, jelas dan saksama, tidak lebih daripada itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here