Antara agama atau cita-cita

0
40



Filem Hijabsta Ballet bukan saja mengupas isu wanita Islam, sekali gus soal diskriminasi dalam kerjaya dan bidang diceburi wanita.

Ia menampilkan gandingan bakat baru dan pelakon berpengalaman seperti Puteh Maimun Zahra, Danny Syazlee, Afeera Rahman @ Batrisya, Betty Benafe, Aida Khalida, Aman Graseka dan Keena. Ia filem pertama terbitan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Explosive Magic Sdn Bhd (EMAGIC).

Selaku pengarahnya, Syed Zulkifli Syed Masir atau lebih dikenali sebagai Syed Zul Tojo berkata, filem itu mengangkat unsur keagamaan dengan memperkatakan mengenai aurat wanita yang digabungkan dengan balet iaitu tarian yang sinonim dengan penampilan seksi serta memperagakan bentuk tubuh badan.

“Mereka cuba merungkai persoalan itu menerusi kajian ilmiah dan sudut pandangan daripada pelbagai aspek dengan penyelesaiannya turut dipaparkan. Filem ini mengenai konflik identiti yang berlaku, khususnya bagi orang muda yang berdepan dengan dilema membuat keputusan berkaitan perjuangan, persimpangan hidup dan pencarian jati diri mereka.

“Idea menghasilkan filem ini tercetus sekitar April lalu. Memandangkan hijab antara isu yang hangat diperkatakan bagi sesetengah negara yang melarang pemakaiannya khusus dalam aktiviti bersukan, justeru pihak kami memilih topik itu untuk dibincangkan.

“Namun, kami juga harus mencari ‘lawannya’ seperti sukan gimnastik atau renang, tetapi ia tidak terlalu kuat untuk dibahaskan dalam filem. Akhirnya kami memilih tarian balet yang tiada toleransi dan sangat menitikberatkan etika pemakaiannya,” katanya.

Syed Zul Tojo berkata, proses menghasilkan skrip sangat rumit apabila ia membabitkan dua benua dan tiga kota.

“Skrip asalnya ditulis empat penulis iaitu saya sendiri, Thorpe Ali, Zailan dan Khalil. Kami sama-sama berbincang menghasilkan rangkanya. Selepas itu, ia diberikan kepada 20 anggota panel untuk menghasilkan cerita, termasuk daripada golongan profesor, guru, pengkaji, penulis, pelakon tambahan malah pengawal keselamatan dan orang awam.

“Selepas rangka skripnya siap, ia dihantar pula ke London untuk menajamkan setiap babak. Proses itu saja mengambil masa enam minggu. Selepas itu sekali lagi skrip dihantar ke Jakarta, Indonesia untuk menghasilkan frasa Indonesia yang ringkas.

“Akhirnya filem itu dibawa pulang ke negara ini dan digarap sepenuhnya sebagai filem Malaysia. Memandangkan filem ini perlu mendapat kefahaman sepenuhnya agar tidak mengundang sensitiviti, skripnya turut dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia serta beberapa sekolah balet di negara ini,” katanya.

Filem ini membabitkan penggambaran pada Julai hingga Ogos tahun lalu di Tanjung Karang dan Perth, Australia. Selain pelakon tempatan, ia turut dijayakan pelakon dari beberapa negara lain seperti Australia, Indonesia, Russia, Kazakhstan dan Perancis.

Hijabsta Ballet dijangka ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada 3 Ogos depan.

Sinopsis

Adele bukanlah kanak-kanak biasa. Pada kala anak-anak lain bermain, hidup Adele penuh dengan jadual, persembahan, ujian dan pertandingan. Di belakangnya, wujud ibu yang sangat mementingkan disiplin dan usaha. Adele juga rapat dengan neneknya yang mencuba menyisipkan kehidupan agama dan spiritual. Nenek tinggal seorang diri di kampung. Apabila Adele berumur 17 tahun, dia dan Batrisya mendapat biasiswa di sekolah balet terkemuka di Russia. Mereka bersiap menjadi ballerina terkenal dunia, tetapi takdir mempunyai rencana lain untuk mereka. Berlaku peristiwa tragik yang menyentap jiwa Adele. Dia membuat keputusan berhijab, sesuatu yang sudah lama bermain di benaknya. Keputusan Adele itu mengubah kehidupan. Keluarga kecilnya berantakan. Masa depan balet yang cerah tiba-tiba menjadi kelam. Adele juga ditentang golongan agama terutama ekstremis. Orang yang diharapkan membantunya sebaliknya lepas tangan, malah, menentangnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here