Apa sudah jadi dengan skuad negara, mana peranan Frost?

0
71



Tiga hari lalu kita menyaksikan betapa mudahnya skuad badminton negara diratah Jepun yang menyingkirkan mereka di suku akhir Piala Sudirman.

Jelas sekali tidak banyak bezanya penampilan skuad negara berbanding edisi terdahulu apabila sering tersingkir awal di kejohanan acara berpasukan campuran itu.

Bagi saya, ia malapetaka kerana kita diundi semula bertemu Jepun di suku akhir selepas tewas kepada lawan sama pada saingan peringkat kumpulan.

Malapetaka juga sebab lawan yang menewaskan kita adalah Jepun. Negara yang dulunya bukan kuasa dunia acara badminton.

Sekarang apa sudah jadi? Dua kali kita ditewaskan mereka.

Paling saya kecewa gandingan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang boleh dikatakan punca kekalahan skuad negara.

Mereka tewas dua kali berturut-turut kepada gandingan Takeshi Kamura-Keigo Sonada pada peringkat kumpulan dan suku akhir. Padahal harapan tinggi diletakkan kepada mereka berdua untuk mengutip mata bagi skuad negara.

Taktikal mereka sudah bagus. Tapi yang membezakan adalah ketahanan mental dan fizikal ketika beraksi di gelanggang.

Lihat bagaimana Kamura-Sonada makin ‘naik minyak’ apabila semakin lama berada di atas gelanggang.

Hendak harapkan pemain wanita kita untuk mengutip mata memang terlalu sukar. Lihat bagaimana tidak bermaya perseorangan wanita Goh Jin Wei.

Begitu juga dengan beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang tidak mempunyai sebarang jawapan untuk mematikan langkah lawan.

Bagi saya sudah tiba masanya untuk perhatian serius diberikan kepada pemain wanita. Sejak dulu sampai sekarang, prestasi mereka sama saja.

Jadi apa sebenarnya fungsi Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen?

Sepatutnya sejak kehadirannya barisan pemain wanita kita dapat melangkah setapak ke depan. Tapi apa yang kita lihat sekarang seolah-olah langsung tiada peningkatan.

Memang kekuatan kita lebih kepada barisan pemain lelaki, tapi sampai bila hendak harapkan mereka saja?

Satu lagi perkara menarik yang ingin saya ulas adalah mengapa pemain perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin tidak diberi peluang bermain?

Apa gunanya membawa Iskandar ke Gold Coast, Australia kalau sekalipun tidak diberi peluang bermain?

Mengapa tetap meletakkan kepercayaan kepada Datuk Lee Chong Wei untuk bermain? Sudah-sudahlah. Chong Wei pun sudah penat membantu skuad negara.

Seperti biasa hanya Chong Wei konsisten mengutip mata untuk skuad negara. Yang lain ‘ke laut’.

Sasaran ke separuh akhir seperti dilaungkan BAM boleh kita katakan janji tinggal janji. Jumpa lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here