APMM terbaik

0
8



Putrajaya: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjadi antara pasukan beruniform kerajaan terbaik dalam menangani salah guna kuasa dan membanteras amalan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Jamidin Abdullah berkata, penilaian itu berdasarkan aduan dan penolakan sogokan yang dilaporkan pegawainya kepada SPRM.

Beliau berkata, jumlah kes tinggi membabitkan amalan rasuah dilaporkan pegawai APMM itu menunjukkan ketegasan mereka memerangi isu rasuah dan mengekang ketirisan hasil negara.

“SPRM mendapati ada beberapa pegawai Maritim Malaysia yang sama kerap tampil membuat laporan berkaitan rasuah yang ditawarkan kepada mereka.

“Justeru, mereka layak menerima anugerah atas integriti ditunjukkan ketika bertugas,” katanya selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Maritim Malaysia, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Zulkifli Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia Datuk Taha Ibrahim.

Pada majlis itu, lebih 4,000 pegawai dan anggota APMM dari seluruh negara menyahut seruan dengan mengambil inisiatif menandatangani IBR yang diadakan secara kerjasama dengan SPRM.

Sehingga kini, 193 agensi menandatangani IBR termasuk 15 kementerian, jabatan kerajaan (57), kerajaan negeri (63), badan berkanun (24), institusi pengajian tinggi swasta (enam) dan 20 badan bukan kerajaan (NGO).

Jamidin berkata, sebagai agensi penguatkuasa, APMM perlu diperkasa dan diperkukuhkan supaya sentiasa bebas rasuah bagi mengelak dipandang negatif oleh negara luar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here