Arab Saudi ibarat "lembu susu" AS – Khamenei

0
50


PEMIMPIN tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. – Foto EPA

TEHRAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyifatkan Arab Saudi seperti lembu yang diperah susunya oleh Amerika Syarikat.

Laporan yang diterbitkan semalam oleh agensi berita Fars, memetik Khamenei sebagai berkata Riyadh memperdagangkan kekayaannya dengan ‘orang kafir dan musuh.’

“Kerajaan Arab Saudi yang bodoh berfikir ia boleh membeli persahabatan musuh dengan memberikan wang kepada mereka,” katanya.

Khamenei juga menambah, Arab Saudi ‘kejam terhadap umat Islam dan baik hati kepada musuh’.

Dalam perkembangan berasingan, Presiden Iran, Hassan Rouhani, memberitahu pemerintah Qatar bahawa ia sedia berunding dengan negara Arab untuk mencapai perjanjian sebenar ke atas keamanan dan persaudaraan.

Laman web Rouhani memetik beliau sebagai berkata dalam perbualan telefon dengan pemerintah Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, bahawa dunia Islam dilanda perpecahan dan perlu mengambil langkah ke arah kedamaian dan persaudaraan.

“Bagi tujuan itu, kami sedia berunding untuk mencapai perjanjian sebenar,” Rouhani dipetik sebagai berkata. – AP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here