Arab Saudi, UAE, Kuwait bagi RM9.96 bilion

0
54
Advertisement



Riyadh: Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait menawarkan AS$2.5 bilion (RM9.96 bilion) bantuan kepada Jordan untuk mengurangkan beban krisis ekonomi berikutan gelombang protes anti-penjimatan, lapor media rasmi Arab Saudi semalam.

“Atas dasar hubungan persaudaraan yang erat, ketiga-tiga negara bersetuju menyediakan pakej bantuan ekonomi kepada Jordan berjumlah AS$2.5 bilion,” kata agensi berita rasmi, Saudi Press Agency.

Pakej bantuan yang diumumkan dalam persidangan empat negara di Makkah itu termasuk deposit ke bank pusat Jordan, penjamin Bank Dunia, sokongan bajet selama lima tahun dan bantuan kewangan untuk projek pembangunan.

Persidangan yang dianjurkan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman itu dihadiri Raja Jordan, Raja Abdullah bersama pemimpin UAE dan Kuwait.

Jordan dilanda bantahan besar-besaran yang membantah kenaikan harga barangan dan cukai yang dicadangkan kerajaan sebagai langkah mengurangkan hutang negara ketika berdepan krisis ekonomi.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Federica Mogherini semalam turut mengumumkan bantuan 20 juta euro (RM94 juta) kepada Jordan.

Jordan yang terlalu bergantung kepada bantuan asing kini bergelut dengan hutang selepas menerima pinjaman berjumlah AS$723 juta (RM2.88 bilion) daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2016.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here