Argentina harap magis Sampaoli

0
77



Buenos Aires: Argentina berharap jurulatih baru Jorge Sampaoli mampu memberikan sentuhan ajaib selain sumbangan Lionel Messi bakal mendorong mereka untuk melepasi kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Sampaoli semakin hampir untuk bergelar jurulatih Argentina apabila kelabnya Sevilla mendedahkan bahawa mereka sudah mencapai persetujuan dengan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).

Sepanjang setahun di Sevilla, beliau membawa anak buahnya ke tangga keempat La Liga dan menamatkan musim di belakang Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid.

Beliau akan meninggalkan Sevilla dan kepulangannya ke Argentina berlaku pada masa yang amat tepat.

“Saya sering mengimpikan untuk melatih skuad kebangsaan,” kata Sampaoli, 57, baru-baru ini.

“Saya mahu melahirkan semua pemain berbakat yang mempunyai kemampuan menggelecek sebelum menggempur benteng lawan.”

Argentina pasti bertuah jika Sampaoli mampu membawa mereka ke pusingan akhir di Russia 2018.

Mac lalu, mereka dilihat berada dalam kedudukan bahaya dan berisiko gagal layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1970.

Kekalahan mengejut di tangan Bolivia selain hukuman penggantungan empat perlawanan yang dikenakan ke atas Messi memburukkan lagi keadaan.

Bagaimanapun, hukuman itu sudah tamat dan juara dunia dua kali itu berdepan laluan sukar untuk ke pusingan akhir kerana menduduki tangga kelima kumpulan kelayakan.

Argentina akan mengharungi empat perlawanan kelayakan Piala Dunia selepas ini, bermula dengan kunjungan ke Uruguay, Ogos ini.

Hanya empat pasukan teratas akan layak secara ke automatik ke Russia tahun depan dengan pasukan di tangga kelima akan mengharungi playoff menentang pemenang zon Oceania.

Messi adalah antara pemain terbaik dunia tetapi kegemilangannya bersama Barcelona tidak dapat dibawa ke skuad kebangsaan.

Argentina hanya menang sekali sepanjang lapan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 tanpa kehadiran Messi tetapi menang lima daripada enam perlawanan jika bintang Barcelona itu berada di padang.

Masalah yang melanda skuad kebangsaan Argentina boleh dianggap misteri jika dilihat kepada kehadiran pemain bertaraf bintang yang mewakili beberapa kelab Eropah ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here