Arif-Azryn juarai Terbuka Russia

0
364
Advertisement



 

BEREGU lelaki profesional negara, Mohd Arif Latif-Nur Azriyn Ayub tidak perlu turun ke gelanggang untuk menghadapi aksi final esok apabila mereka sudah pun disahkan sebagai juara Terbuka Russia, sebentar tadi.

Ini kerana lawan di pentas final, pasangan dari Russia yang juga pilihan kedua kejohanan, Konstantin Abramov-Alexandr Zinchenko terpaksa menarik diri selepas salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan.

“Kami dimaklumkan oleh pengadil kejohanan yang kami tidak perlu bermain dalam aksi final esok selepas salah seorang pemain lawan mengalami kecederaan dan mereka menarik diri. Jadi, kami disahkan sebagai juara Terbuka Russia untuk acara beregu lelaki,” kata Arif ketika dihubungi.

Terdahulu, Arif-Azriyn yang memasang impian untuk layak beraksi pada Olimpik Tokyo 2020 mara ke final selepas melakar kejutan ke atas pilihan utama kejohanan, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 16-21, 21-19, 21-19 di Dewan Sukan Olimpik, Vladivostok.

 Arif yang gembira dengan kejuaraan pertama diraih mereka sejak bergandingan pada Februari lalu, berkata ia pastinya menyuntik semangat dalam misi memburu slot layak ke Tokyo.

“Kejayaan ini cukup penting kerana kami meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 40 terbaik dunia sebelum hujung tahun ini. Kami harap boleh kekalkan prestasi ini untuk menghadapi kejohanan seterusnya,” kata Arif yang kini bersama Azryn menghuni ranking ke-116 dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here