Arif, Syawal mara undian utama

0
19



Kuala Lumpur: Bekas pemain perseorangan lelaki dan juga pemenang perak Sukan SEA 2015 Singapura, Arif Latif (kiri) membentuk gandingan cemerlang bersama Syawal Ismail apabila mara ke undian utama beregu lelaki Terbuka Thailand semalam.

Arif-Syawal menumpaskan gandingan China Fan Qiuyue-Ren Xiangyu pada aksi pertama kelayakan 21-15, 21-17 dan mereka mengesahkan satu daripada empat slot ke undian utama selepas mengalahkan pasangan tuan rumah Charongrat Nobsamrong-Piyapat Wannalee 21-10, 21-17.

Menurut pemain kelahiran Negeri Sembilan itu, walaupun hanya dua minggu berlatih bersama Syawal ia tidak menghalang mereka memberikan persembahan terbaik untuk mara ke pusingan pertama berdepan Hendra Setiawan-Tan Boon Heong hari ini.

“Memang kami meletakkan sasaran mara ke undian utama dan sekarang perlu teruskan kecemerlangan, setidak-tidak mara ke suku akhir,” katanya.

Selain Arif-Syawal, turut mara ke undian utama adalah bekas pemenang Terbuka Malaysia 2014 Lim Khim Wah yang bergandingan bersama Ooi Zi Heng dan mereka berjaya menumpaskan Krisda Kolum-Kaninpong Yokard (Thailand) 19-21, 21-5, 21-8 dan gandingan Hong Kong Tam Chun Hei-Yeung Shing Choi 14-21, 21-15, 21-17.

Pasangan muda negara, Tan Jinn Hwa-Wong Wai Jun turut cemerlang selepas menumpaskan beregu tuan rumah, Kittithat Cheiklinthes-Kumpon Srihong 21-11, 21-12 serta Wasapon Uttamang-Kandis Wanaroon 21-14, 21-8.

Di pusingan pertama hari ini Khim Wah-Zi Heng akan berdepan Trawut Potieng-Nanthakam Yordphaisong (Thailand), manakala Jinn Hwa-Wai Jun bakal berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here