Arsenal tetap hampa

0
51



London: Danny Welbeck mengakui musim Arsenal tetap mengecewakan sekalipun jika mereka memenangi final Piala FA.

Gunners gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh dua dekad apabila mereka berakhir di tangga kelima Liga Perdana Inggeris.

Arsenal berdepan juara Chelsea di Wembley awal pagi Ahad ini pada final pertandingan yang dimenangi mereka pada 2014 dan sekali lagi pada 2015.

“Memang amat mengecewakan tidak berada dalam kelompok empat teratas,” ujar Welbeck. “Cara musim ini berlalu, buat kelab, penyokong, pemain dan staf bukannya musim yang hebat. Kami mempunyai peluang untuk menjadikannya lebih baik hujung minggu ini.

“Kami berpeluang bermain pada final dan memenangi trofi. Ia sesuatu yang positif tapi kedudukan dalam liga tidak dapat mengubat kekecewaan itu.”

Penyerang England berusia 26 tahun itu masih berada di Manchester United ketika Arsenal menang pada 2014 dan terlepas aksi final 2015 kerana kecederaan.

Masalah kecederaan berterusan menghantuinya dengan kecederaan kaki mengurangkan penampilannya sejak dia kembali daripada kecederaan lutut yang serius Januari lalu.

“Saya berasa semakin bagus dan tidak mempunyai masalah besar dengan lutut saya,” katanya.

“Hanya ada beberapa masalah kecil dengan kaki dan jari kaki. Itu yang menyebabkan saya diketepikan ketika ini.

“Harapnya pada masa depan saya akan bermain tiga perlawanan seminggu. Ia hanya lebam di tapak kaki saya jadi setiap kali saya berlari ia menyebabkannya lebih teruk.”

Kemenangan ke atas Chelsea akan mengendurkan tekanan buat pengurus Arsene Wenger, yang dijangka menandatangani sambungan kontrak dua tahun pada ketika sesetengah penyokong berasakan pengendali dari Perancis itu patut berundur.

“Kami mahu melakukannya untuk pengurus begitu juga untuk diri sendiri, pasukan dan penyokong,” kata Welbeck.

“Sebagai pemain profesional kami mahu memenangi trofi itu dan membawanya pulang.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here